AM

Bahagian 3: Mangsa Tuntut Keadilan Dalam Episod Skyvax

25/10/2024 08:40 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

(Dalam bahagian terakhir ini, Bernama meneliti tindakan MARA mengenai isu ini dan penjelasan bekas pengarah syarikat dan seorang bekas kakitangan. Siasatan diteruskan dengan persoalan mengenai akauntabiliti dan keadilan berhubung pembiayaan pendidikan dan sektor penerbangan di Malaysia yang masih belum terjawab.)

 

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Dalam bahagian akhir kisah kontroversi latihan juruterbang ini, Bernama menghubungi Bahagian Penajaan Pendidikan (BPP) MARA melalui e-mel untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu melibatkan syarikat yang menguruskan latihan untuk bakal juruterbang dan bertanya sama ada agensi itu telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Skyvax Holdings Sdn Bhd.

Sepanjang siasatan Bernama dan usaha untuk mendapatkan respons daripada MARA bagi menjelaskan perkara ini, agensi itu belum memberi sebarang maklum balas, menimbulkan lagi tanda tanya terhadap isu ini.

Bagaimanapun, sejurus selepas bahagian 1 dan 2 artikel ini diterbitkan minggu ini, Bahagian Komunikasi Korporat MARA mengeluarkan kenyataan.

Kenyataan itu memperincikan kerjasama antara MARA dan Malaysia Aviation Group (MAG) sejak 15 April 2018, yang bertujuan melahirkan juruterbang kadet yang berkemahiran tinggi untuk syarikat penerbangan di bawah kumpulan itu termasuk Malaysia Airlines (MAS).

Ia menyatakan bahawa MAG mengenal pasti juruterbang kadet berpotensi berdasarkan garis panduan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), manakala MARA menyediakan kemudahan pinjaman dan jaminan pekerjaan dengan MAS selepas tamat pengajian.

Menurut kenyataan itu, melalui kerjasama ini, seramai 39 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian Lesen Juruterbang Komersial (CPL) di Pusat Latihan Penerbangan Czech (CATC) di Prague. Daripada jumlah itu, 38 pelajar mendapat pekerjaan dengan MAS selepas tamat pengajian, manakala seorang lagi sedang meneruskan latihan di dalam negara, yang dijangka tamat pada 2025.

Namun, bahagian penting dalam kenyataan MARA adalah pada perenggan terakhir bahawa mereka telah mengambil tindakan tegas, termasuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam isu ini.

Bernama menghubungi Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat MARA, Abd Fareas Noew Hanzah, sebelum artikel ini diterbitkan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Beliau mengesahkan bahawa laporan polis dan tindakan undang-undang adalah merujuk kepada Skyvax Holdings, syarikat yang dinyatakan dalam bahagian 1 dan 2 artikel Bernama.

Apabila ditanya mengenai masa laporan polis dan butiran khusus tindakan undang-undang yang diambil oleh MARA terhadap Skyvax, Abd Fareas enggan memberikan butiran lanjut, dengan alasan kerahsiaan dan menasihatkan penulis ini merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh MARA.

Abd Fareas turut memaklumkan bahawa kemelut yang melibatkan Skyvax berlaku antara 2021 dan 2022 dan tindakan undang-undang masih berjalan serta menghampiri penyelesaiannya.

 

PERSPEKTIF PENGARAH SYARIKAT SKYVAX

 

Bagi mendapatkan perspektif syarikat, Bernama menghubungi Pengarah Skyvax Holdings melalui panggilan telefon dan mesej teks, yang beliau ditanya tentang penglibatannya sebagai pengasas dan pengarah syarikat. Beliau menjawab bahawa beliau adalah pengarah syarikat tetapi “hanya atas kertas”.

Beliau turut ditanya mengenai ramai pelatih juruterbang yang tidak dapat menamatkan latihan kerana syarikat gagal membayar yuran penerbangan kepada sekolah penerbangan di Prague. Beliau menjawab kejadian itu berlaku akibat kesan pandemik COVID-19 yang menyebabkan syarikat tidak dapat bangkit semula dan terpaksa ditutup.

Selain itu, beliau ditanya sama ada beliau sedar terdapat dakwaan terhadap pihaknya, tindakan undang-undang yang diambil oleh beberapa ibu bapa bagi pihak pelajar dan pelbagai laporan polis yang dibuat mengenai syarikat itu dan pemegang sahamnya.

“Saya sedar sepenuhnya tentang isu yang dihadapi, dan apa yang boleh saya katakan di sini ialah kes ini telah disiasat oleh polis sejak awal 2022, dengan lebih 10 laporan polis dibuat. 

“Malah, semua dokumentasi syarikat dan akaunnya serta rekod syarikat lain telah disemak dan dianalisis oleh polis daripada Cawangan Siasatan Jenayah Komersial (CCIB) di Shah Alam,” katanya. 

Beliau mendakwa tiada penyelewengan wang, kerana apa yang berlaku boleh dikategorikan sebagai pelanggaran kontrak dan pengadu dinasihatkan mengambil tindakan sivil di mahkamah terhadap syarikat itu.

“Saya hanya ingin menegaskan sekali lagi bahawa tidak berlaku penyelewengan, hanya peristiwa malang akibat pandemik COVID-19,” tambahnya.

Selepas bahagian 1 dan 2 artikel itu diterbitkan, pengarah syarikat itu menghubungi dan menyatakan hasrat untuk bertemu dengan penulis ini bagi memberikan gambaran yang lebih jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku.

“Untuk berlaku adil kepada syarikat, saya rasa anda patut ada sesi dengan saya untuk mendapatkan satu lagi perspektif mengenai episod ini. Dan apa yang sebenarnya berlaku,” katanya kepada penulis ini, yang bersetuju untuk bertemu dengannya bagi mendapatkan maklumat lanjut.

 

Bernama turut menemu bual Mohamad Shazwan, 29, seorang bekas pekerja syarikat itu yang menceritakan permasalahan syarikat itu.

Shazwan bekerja di Skyvax Holdings selama lebih dua tahun, pada mulanya sebagai eksekutif penyelaras operasi dan jualan, dan kemudian sebagai pengurus pelanggan syarikat, mengendalikan pelajar yang mendaftar di bawah syarikat untuk dihantar ke Prague di Republik Czech.

Tugasannya berinteraksi dengan ibu bapa dan pelanggan yang dibiayai sendiri, untuk mematuhi dasar syarikat yang memerlukan pembayaran dibuat secara berperingkat. Dia teringat pernah menasihati ibu bapa tertentu yang lebih suka membayar sekali gus daripada menunggu berbuat demikian sehingga semua urusan dimuktamadkan. 

"Sesetengah ibu bapa ingin membayar sekali gus kepada syarikat, mungkin kerana mereka mempercayai syarikat itu dan mahu menyelesaikan semuanya dengan cepat.

"Bagaimanapun, saya sentiasa menasihati mereka untuk membuat pembayaran secara berperingkat - bermula dengan RM1,000 sehingga syarikat mendapatkan visa anak-anak mereka, dan kemudian membuat pembayaran seterusnya. Pendekatan ini meminimumkan risiko mereka, sekiranya berlaku apa-apa yang tidak kena dengan syarikat itu," jelasnya semasa temu bual dengan Bernama. 

 

PEMILIK MENGARAHKAN IBU BAPA MEMBUAT PEMBAYARAN PENUH 

 

Shazwan pernah menerima panggilan daripada ibu bapa kepada seorang pelatih yang pada mulanya menjadi pelanggannya, yang mendedahkan mereka telah membuat pembayaran penuh kepada syarikat. 

"Saya bertanya kepada mereka mengapa mereka membayar jumlah itu, menjelaskan bahawa ia menimbulkan risiko yang besar, terutamanya kerana syarikat itu belum menyelesaikan visa," kata Shazwan.

Ibu bapa itu memaklumkan Shazwan bahawa pemilik syarikat mengarahkan mereka membayar sekali gus untuk memulakan proses menghantar pelajar itu ke Prague dan memberitahu ibu bapa itu untuk berurusan terus dengannya. 

Shazwan bingung kerana pengasas Skyvax telah mengetepikan nasihatnya, dan seterusnya menasihatkan lima pelanggannya yang lain supaya tidak membayar sebarang jumlah yang besar kepada syarikat sehingga proses sewajarnya untuk pelajar telah diselesaikan sepenuhnya. 

"Saya berjaya menyelamatkan lima pelanggan daripada membayar lebih banyak wang kepada syarikat. Pemilik syarikat marah kepada saya, tetapi saya tidak boleh berdiam diri - ia bertentangan dengan prinsip saya," katanya. 

Beliau menjelaskan syarikat itu mengendalikan wang rakyat, dan ia bukan hanya 200 atau 300 ringgit, tetapi ratusan ribu ringgit bagi setiap pelanggan. Program itu sendiri menelan belanja hampir setengah juta ringgit.

Shazwan menjelaskan bahawa pemilik dan pemegang saham syarikat itu terdiri daripada adik-beradik, dengan abang sulung menjadi perancang utama di sebalik syarikat itu. Yang lain pula berperanan sebagai pengarah dan pemegang saham.

Ketika ditanya mengenai peristiwa yang membawa kepada penutupan syarikat, Shazwan menjelaskan kedudukan kewangan semakin merosot menyebabkan syarikat itu mula gagal membayar yuran pengajian dan penginapan pelajar. 

Pada ketika ini, MARA campur tangan dan menanggung baki kos untuk pelatih tajaan mereka.

"Semasa kegawatan syarikat, MARA mengadakan pertemuan dengan pemilik dan pemegang saham syarikat. Pertemuan itu bertukar menjadi perbalahan, dengan pengarah syarikat menyalahkan satu sama lain atas masalah itu," Shazwan menceritakan, sambil menambah bahawa wakil dari MAS turut hadir pada mesyuarat itu.

Beliau menjelaskan bahawa pelajar Malaysia di CATC di Prague, yang ditaja oleh MARA, adalah daripada program Kadet Malaysia Airlines. Program ini menghantar juruterbang kadet mereka untuk latihan penerbangan di CATC, dengan syarikat itu bertindak sebagai perantara yang bertanggungjawab untuk mengawasi pembayaran dan yuran untuk pelajar Malaysia. 

"Kebanyakan pelatih juruterbang Malaysia di Prague, kira-kira 40 orang, adalah daripada program Kadet Malaysia Airlines, dengan MARA bertindak sebagai pembayar bagi pelajar ini. Selebihnya, sekitar 20 orang, dibiayai sendiri," jelasnya.

 

PRESTASI SYARIKAT SEMAKIN BURUK 

 

Shazwan turut mendedahkan selepas syarikat itu ditutup, pemilik syarikat berkenaan memulakan perniagaan restoran. Dalam tempoh yang singkat, restoran itu juga terpaksa ditutup. 

Beberapa mangsa Skyvax telah menegaskan bahawa bekas CEO Skyvax juga harus bertanggungjawab, kerana beliau terlibat dalam isu syarikat semasa memegang jawatan sebagai CEO sebelum kejatuhan syarikat.

Shazwan menjelaskan bahawa bekas CEO syarikat itu tidak terlibat dalam masalah syarikat. Pada 2022, beliau memberikan keterangan kepada pihak polis, menjelaskan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bahawa kuasa tandatangan dalam syarikatnya adalah terhad dan bahawa beliau tidak boleh ingkar keputusan yang dibuat oleh pemilik dan pengasas syarikat.

Shazwan turut menerangkan bahawa bekas CEO telah memberikan maklumat terperinci kepada JSJK mengenai kuasa tandatangan dalam syarikat itu, memperjelaskan had kuasanya dan sejauh mana pemilik atau pengasas syarikat mengawal keputusan. Berdasarkan maklumat ini, pihak polis mendapati beliau bebas daripada sebarang kesalahan.

Kemelut syarikat penerbangan ini telah meninggalkan kesan kewangan dan emosi yang mendalam bagi ramai bakal juruterbang dan keluarga mereka di Malaysia.

Dakwaan penyelewengan lebih RM21 juta oleh pemilik syarikat, mengakibatkan kesukaran yang besar, dengan ramai pelajar tidak dapat menamatkan latihan mereka manakala ibu bapa terpaksa menanggung beban kewangan. 

Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mencari keadilan, termasuk laporan polis dan tindakan undang-undang, penyelesaiannya masih tidak kelihatan. Situasi ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan sistem keadilan dan penguatkuasaan di negara ini dalam menangani isu-isu seperti ini, dan sama ada langkah-langkah yang diambil mencukupi untuk melindungi hak-hak pelatih penerbangan serta kepentingan awam.

Nasib yang menimpa mereka dalam kes ini menunjukkan perlunya pengawasan yang lebih ketat serta akauntabiliti dalam pengurusan dana pendidikan dan pihak berkuasa penerbangan untuk mengelakkan tragedi seperti ini pada masa hadapan.

Keluarga yang terjejas terus mencari jawapan dan keadilan, dengan harapan bahawa usaha gigih mereka akhirnya akan membawa kepada akauntabiliti dan penyelesaian yang adil.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan