DUNIA

Mohamad Wakili Malaysia Dalam Mesyuarat CHOGM Ke-27 Di Samoa

24/10/2024 10:47 AM

PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Persidangan Ketua-Ketua Negara/Kerajaan Komanwel Ke-27 (CHOGM 2024) dari 24 hingga 26 Okt 2024 di Apia, Samoa.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar Negeri yang turut dikenali sebagai Wisma Putra berkata Mohamad akan mengetengahkan kepentingan bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan, pembangunan sosio-ekonomi, serta memperkukuhkan kerjasama dalam bidang Matlamat Pembangunan Mampan, tindakan dan penyesuaian iklim, teknologi dan inovasi termasuk peralihan tenaga.

Perbincangan Mohamad dengan rakan-rakan sejawatan juga akan tertumpu kepada pengukuhan Kerjasama Selatan-Selatan dan merapatkan jurang pembangunan di samping isu-isu serantau dan global, serta isu-isu dua hala berkepentingan bersama.

“Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) kekal sebagai platform penting untuk Malaysia menyalurkan bantuan teknikal dan pembinaan keupayaan di kalangan Negara-Negara Membangun.

"Selain itu, sebagai usaha mengukuhkan keupayaan, Malaysia juga menyumbang kepada Tabung Kerjasama Teknikal Komanwel.

“Sebagai anggota Komanwel sejak 1957, Malaysia akan terus mempromosi prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang termaktub dalam Piagam Komanwel dan mengukuhkan kerjasama antara Negara-Negara Anggota,” menurut kenyataan itu.

Bertemakan "One Resilient Common Future: Transforming Our Common Wealth", CHOGM 2024 akan dihadiri oleh Ketua-Ketua Negara/Kerajaan dan Menteri-Menteri dari 56 Negara Anggota Komanwel.

Perbincangan turut akan memfokuskan kepada politik global dan pembangunan ekonomi, tadbir urus baik, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia, kelestarian, perubahan iklim dan pembangunan sosio-ekonomi.

Dua dokumen hasil dijadual diluluskan, iaitu CHOGM Communiqué dan Commonwealth Ocean Declaration yang akan menggariskan keutamaan dan komitmen Komanwel dalam perkara-perkara itu termasuk isu pemerkasaan wanita, belia, alam sekitar, pendidikan, kesihatan,teknologi dan inovasi, serta biodiversiti lautan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan