AM

KPDN Tidak Terima Aduan Masalah Bekalan, Harga Telur Di Sandakan

24/10/2024 10:17 PM

SANDAKAN, 24 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menerima sebarang aduan berkaitan masalah bekalan atau kenaikan harga telur ayam di Sandakan sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata meskipun begitu, pihaknya tetap menjalankan pemeriksaan harian di setiap rantaian bekalan termasuk di pasar raya.

“KPDN juga mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan WhatsApp bersama pembekal, peruncit dan pemborong terpilih di Sandakan, bertujuan memantau pergerakan bekalan,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan bekalan telur ayam di sini hari ini.

Azdy berkata berdasarkan pemeriksaan di sebuah premis pembekal telur di sini mendapati jumlah keseluruhan stok semasa telur ayam gred A, B dan C untuk edaran adalah sebanyak 94,950 biji, manakala telur ayam bukan kawalan berjumlah 126,990 biji.

“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu bekalan serta memanipulasi harga telur ayam yang dikawal,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan rasmi melalui WhatsApp 019-2794317 atau 019-8488000, Portal Aduan e-aduan.kpdn.gov.my atau menghubungi 1-800-866-800, selain menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan