AM

Gabungan NGO Suara Gaza Berhimpun Teruskan Solidariti Bersama Palestin

25/10/2024 05:56 PM

KOTA BHARU, 25 Okt (Bernama) -- Lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai lapisan rakyat Kelantan berhimpun di Dataran Masjid Muhammadi, di sini, bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan penduduk Palestin menentang kezaliman Israel.

Perhimpunan yang diadakan selepas solat Jumaat di masjid berkenaan turut disertai wakil pelbagai kaum sebagai solidariti setelah setahun konflik Gaza berlarutan.

Pengerusi Gabungan NGO Suara Gaza Nazri Deraman berkata kira-kira 100,000 ahli gabungan pertubuhan itu termasuk dari Indonesia dan Brunei akan terus bersolidariti bersama rakyat Palestin menuntut pembebasan Masjid Al-Aqsa dan membantah kekejaman Israel.

"Himpunan yang bermula di Kota Bharu hari ini akan diteruskan di lima daerah lain antaranya Tanah Merah, Pasir Mas, Kuala Krai dan Gua Musang,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan. 

Beliau berkata antara NGO yang menjayakan program hari ini termasuk Pertubuhan R Kelantan (R4RAKYAT), Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia (Cakna Palestin), Persatuan Anak-anak Istimewa Kelantan (PAIK) dan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia cawangan Kelantan.

"Terdapat juga ahli Yayasan Amal Malaysia (Yayasan Amal) cawangan Kelantan, Ikatan Muslim Profesional (Improf), International Relief and Humanitarian Outreach Malaysia (iReach), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) cawangan Kelantan, Himpunan Kasih serta wakil kaum Cina, India dan Siam," katanya.

Beliau berkata RM2 juta berjaya dikumpul menerusi kempen solidariti yang digerakkan sejak setahun lepas dan ia telah disalurkan kepada Palestin dengan keutamaan bagi bekalan air bersih dan makanan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan