AM

Pemandangan Menakjubkan Menara Merdeka 118 Menanti Tetamu Hotel Teedo

27/10/2024 12:10 AM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Pengunjung Hotel Teedo di Pudu Sentral di sini yang akan beroperasi awal November ini bakal menikmati pemandangan menakjubkan iaitu Menara Merdeka 118.

Pemilik hotel berkenaan Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata 84 bilik daripada keseluruhan 168 bilik hotel itu menawarkan pemandangan menara ikonik kedua tertinggi di dunia itu dengan penginapan berharga serendah RM150.

“Seperti kita ketahui hotel ini terletak di bangunan Pudu Sentral atau Puduraya yang menawarkan gabungan keselesaan dan lokasi strategik sesuai untuk pelancong tempatan dan luar negara yang mencari penginapan ‘mesra bajet’ di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

“Tetamu juga boleh menikmati pemandangan lima bintang iaitu Menara Merdeka 118 dari 84 bilik hotel ini. Ia pastinya satu pengalaman penginapan yang tidak akan dapat dilupakan,” katanya pada prapelancaran hotel berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir ibu bapa Nurulhidayah yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Selain itu, Nurulhidayah berkata lokasi strategik Hotel Teedo juga membolehkan pengunjung meneroka tarikan popular seperti Petaling Street yang meriah dan terkenal dengan syurga makanan serta cenderamata selain hanya 10 minit berjalan kaki ke pusat beli-belah di Bukit Bintang.

“Dengan kadar berpatutan dan keselesaan yang ditawarkan, Hotel Teedo adalah pilihan tepat untuk pengembara yang ingin menikmati pengalaman berada di Kuala Lumpur sepenuhnya,” katanya.

Bercerita lanjut, beliau berkata idea untuk memiliki hotel tercetus secara spontan oleh suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff dua tahun lepas selain rentetan kekecewaan kerana terpaksa menangguhkan pembinaan Teedo Resort Bagan Datuk pada 2018.

“Suami saya secara spontan menyatakan ada sebuah bangunan yang berpotensi untuk dipajak kerana pemajak yang sebelumnya terpaksa memberhentikan operasi selama dua tahun ketika pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.

“Pada ketika itu saya agak meragui idea tersebut tetapi suami saya tetap nekad untuk merealisasikan nama Hotel Teedo sebagai memenuhi impian dan angan-angan saya, maka terlahirlah hotel ini dengan kerjasama UDA Holdings dan rakan pembiayaan kami SME Bank,” katanya.

Selain kemudahan penginapan yang selesa, Hotel Teedo yang dikategorikan bertaraf tiga bintang turut dilengkapi dengan restoran, kedai serbaneka, Wi-Fi berkelajuan tinggi, televisyen dan penyaman udara.

Ia turut menempatkan dewan di tingkat 15 yang boleh memuatkan kira-kira 200 hingga 250 tetamu menjadikannya ideal untuk persidangan berskala kecil atau mesyuarat bagi syarikat yang mempunyai bajet sederhana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan