KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Setiap komuniti perlu memainkan peranan menyampaikan maklumat berkaitan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk program SejaTi MADANI, agar tiada yang terkecuali daripada menerima manfaatnya, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil
Beliau berkata pelbagai inisiatif dan peruntukan yang disediakan kerajaan juga perlu direbut dalam usaha meningkatkan sosio ekonomi komuniti setempat.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Penerangan dan badan seperti Komuniti MADANI untuk meningkatkan pemahaman tentang permohonan dan mengenal pasti komuniti-komuniti yang layak tapi tidak tahu cara membuat permohonan.
“Jadi kita akan buat langkah yang proaktif untuk reach out kepada komuniti-komuniti ini untuk membuat permohonan,” katanya.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan sempena Deepavali kepada 250 masyarakat India beragama Hindu di Parlimen Lembah Pantai di Kuil Arulmigu Sri Ramalingeswarar, Bangsar di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk SejaTi MADANI yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000.
Merujuk kepada sumbangan yang disampaikan hari ini Fahmi berkata ia menzahirkan tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan masyarakat yang memerlukan dalam suasana harmoni dan bermuafakat.
Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM20,000 untuk membantu komuniti kuil dalam aspek pembangunan dan kebajikan.
Sementara itu penerima komuniti setempat yang terdiri daripada keluarga B40 berterima kasih atas pemberian sumbangan itu yang disifatkan mereka amat bermakna memandangkan Deepavali akan disambut pada Khamis ini.
T. Selvi 58, yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria berkata sumbangan itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan raya.
“Setakat ini kami masih belum (membeli) apa-apa. Terima kasih atas bantuan ini dan saya akan belanjakan untuk membeli apa yang perlu,” katanya yang mempunyai lima cahaya mata dan dua cucu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial