AM

Pembangunan Semula Kampung Tradisional Melayu Di Sibu Kekal Di Tapak Asal

27/10/2024 10:33 PM

SIBU, 27 Okt (Bernama) -- Projek pembangunan semula kampung tradisional Melayu iaitu Kampung Datuk Lama, Kampung Baharu dan Kampung Hilir yang akan dilaksanakan kerajaan negeri Sarawak di Sibu akan dikekalkan di tapak asal.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee memberi jaminan pembangunan semula itu tidak akan melenyapkan kewujudan kampung-kampung tradisi tersebut seperti mana berlaku ke atas Kampung Nyabor dahulu  yang kini hanya tinggal nama.

“Kita harus faham konsep pembangunan semula tiga kampung ini adalah berbeza dengan Kampung Nyabor yang sudah hilang identiti, unsur-unsur kampung Melayu dan hak milik. Kampung-kampung ini kekal di tapak asal dan rumah-rumah dibina nanti memiliki struktur dan unsur kampung Melayu.

“Setakat ini saya sudah ada menerima empat cadangan reka bentuk rumah dan saya mahu rumah-rumah dibina semula di Kampung Datuk Lama, Kampung Baharu dan Kampung Hilir nanti ada ciri-ciri budaya Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan program Archiving Today’s Knowledge And Records For Tommorow’s Accessibility and Browsing (AKRAB) Siri 2 di Dewan  Melayu Melanau Bersatu (MMB) di sini hari ini.

Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata sebaik sahaja kerja-kerja pembangunan semula itu selesai beliau akan mengemukakan permohonan supaya kampung-kampung tersebut diwartakan sebagai kampung warisan untuk memastikannya terus wujud.

Sementara itu mengulas perpindahan sebahagian 104 pemilik rumah Kampung Datuk Lama ke Kampung Datu Baru beliau berkata mereka yang terlibat hanya yang memiliki lot rumah keluasan kurang daripada 242.82 meter persegi.

“Mereka dipindahkan ke Kampung Datu Baru kerana keluasan lot rumah di Kampung Datuk Lama mereka terlalu kecil dan sukar untuk dibangunkan semula...sebab itu mereka dipindahkan ke Kampung Datu Baru dan disediakan sebuah rumah dua tingkat,” jelasnya.

Beliau berkata, penduduk yang berpindah hanya perlu membayar RM150,000 daripada RM300,000 kos keseluruhan pembinaan rumah yang mana selebihnya ditanggung kerajaan.

Sementara itu program selama dua hari yang merupakan inisiatif Pustaka Negeri Sarawak adalah untuk memelihara sejarah, khazanah dan maklumat kewujudan kampung-kampung dipindahkan ke penempatan baharu di Sarawak untuk tujuan pembangunan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan