EKONOMI

Supreme Consolidated Sasar Kumpul RM17.5 Juta Melalui IPO

28/10/2024 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Supreme Consolidated Resources Bhd (SCRB) yang memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia, menyasarkan untuk mengumpul RM17.5 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO).

Berharga 25 sen sesaham, pelaksanaan itu dijadualkan menjelang 29 Nov. 

Pasaran LEAP adalah pasaran yang didorong oleh penasihat yang hanya boleh diakses oleh pelabur yang canggih.

Sementara itu, syarikat barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) yang berpangkalan di Sarawak itu menyediakan akses pasaran serta liputan untuk produk pengguna di Sarawak dan Sabah, memfokuskan pada pengedaran jenama pihak ketiga termasuk produk makanan sejuk beku, makanan dan minuman ambien (F&B) serta produk bukan F&B.

Pengerusi Eksekutif bukan Bebas, Datuk Richard Wee Liang Chiat berkata RM11 juta atau 62.86 peratus daripada hasil IPO akan dipakai bagi membiayai pengembangan kemudahan gudang; RM4 juta (22.86 peratus) akan diperuntukkan untuk modal kerja dengan baki hasil itu meliputi perbelanjaan berkaitan penyenaraian. 

Wee menekankan syarikat itu mengendalikan dua pusat pengedaran di Kuching dan Miri, dilengkapi dengan fasiliti pergudangan serta kemudahan storan sejuk, dengan kapasiti masing-masing 2,600 palet dan 680 palet, untuk menyokong penyimpanan dan pengedaran pelbagai jenis produk pengguna. 

“Kami menjangka pembesaran kemudahan gudang-gudang ini akan menambah lebih daripada 1,500 palet, atau 60 peratus daripada jumlah kapasiti kami, ini akan mampu menampung pengembangan produk SCRB,” katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus syarikat tersebut di sini hari ini.

Beliau juga menyebut mengenai minat syarikat untuk meneroka potensi pengembangan perniagaan di Kalimantan dalam masa terdekat.

Prospektus SCRB menyatakan bahawa syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM107.5 juta, berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 430 juta saham.

IPO itu akan melibatkan terbitan sejumlah 70 juta saham baharu, mewakili 16.3 peratus daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan. Permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup menjelang 5 petang, 15 Nov depan.

Kenanga Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama IPO, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan