EKONOMI

NCEC Setuju Perluas Penggunaan Sanga Dalam Sektor Ekonomi Berimpak Tinggi

29/10/2024 05:13 PM

PUTRAJAYA, 29 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (NCEC) hari ini bersetuju memperluas penggunaan sanga iaitu sisa daripada industri besi dan keluli, sebagai komposisi bahan dalam sektor ekonomi berimpak tinggi. 

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua kertas pertimbangan dan empat kertas makluman dibentangkan dalam NCEC yang  dipengerusikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming. 

NCEC merupakan platform membincangkan dan menyelaras perihal dasar dan pelaksanaan berkaitan ekonomi kitaran di peringkat nasional dan mesyuarat hari ini bermatlamat memaksimumkan kecekapan penggunaan sumber serta meminimumkan janaan sisa.

Selari dengan matlamat mesyuarat, NCEC bersetuju memperluas penggunaan sanga dalam sektor ekonomi berimpak tinggi seperti pembinaan jalan raya, pembuatan batu bata serta pembuatan terumbu karang buatan.

“Perluasan penggunaan sanga dapat mengurangkan jumlah sisa keluli dihantar ke tapak pelupusan dan penggunaan sumber alam primer melalui satu daripada ‘R’ ekonomi kitaran iaitu reduce,” menurut kenyataan itu.

KPKT memaklumkan mesyuarat turut mengambil maklum mengenai kepentingan meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan terhadap eksport sekerap ferus dan pematuhan lesen kilang keluli bagi mengelakkan ketirisan sumber tempatan.

“Ketersediaan sumber tempatan adalah penting bagi memastikan industri besi dan keluli negara memperoleh bahan mentah yang mencukupi dan mengurangkan pergantungan kepada bahan mentah import,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, NCEC turut mengambil maklum bahawa sisa makanan dapat diuruskan dengan lebih baik dan cekap melalui pembangunan Pusat Pengitaran Tinggi Sisa Makanan dengan mengaplikasikan entoteknologi Entomal berasaskan Serangga Askar Hitam (BSF).

Sementara itu, Nga dalam kenyataan sama berkata kertas-kertas yang dibawa dalam mesyuarat NCEC membuktikan bahawa peralihan kepada ekonomi kitaran membawa banyak manfaat dan impak tinggi kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Semua inisiatif yang dibincangkan adalah selaras dengan matlamat NCEC untuk menggalakkan ekonomi kitaran dengan memaksimumkan penggunaan bahan buangan, mengurangkan impak terhadap sumber alam serta memacu pertumbuhan ekonomi.

“Ini membuktikan bahawa ekonomi kitar semula bukan sahaja membantu dalam penggunaan sumber secara mampan, tetapi juga dapat merangsang pertumbuhan ekonomi secara signifikan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan