SUNGAI PETANI, 29 Okt (Bernama) -- Penglibatan masyarakat sangat penting dalam memastikan sasaran mengurangkan kes ketagihan dadah dan meningkatkan kadar pemulihan sebanyak 80 peratus menjelang 2025 dapat dicapai.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata beliau yakin masyarakat akan memberi kepercayaan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk melaksanakan amanah besar selepas Rang Undang-undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dipinda Ogos lepas.
“Penglibatan masyarakat juga sangat penting...sebab itu kita mengajak semua lapisan masyarakat baik ahli akademik atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut sama terlibat.
“Ini kerana melalui pindaan ini saya percaya kadar pemulihan penagihan dadah daripada berada dalam penjara misalnya, lebih baik kalau berada di luar (dalam komuniti),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Program Persijilan AADK Ketiga 2024 di Pusat Latihan AADK Sungai Petani dekat sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh.
Sementara itu, Shamsul Anuar berkata AADK sentiasa peka dengan perubahan yang berlaku dari segi penyalahgunaan dadah serta menggunakan pendekatan terbaik untuk menanganinya berdasarkan situasi semasa.
“Bila pindaan RUU ini diluluskan bukan bermakna semua akan berada dalam (pemulihan) komuniti sebahagiannya akan ke Puspen (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik)...yang penting mereka tidak lagi dikenali sebagai pesalah tetapi sebagai pesakit.
“Namun demikian saya nak jelaskan kepada masyarakat bahawa mengedar dadah masih lagi tertakluk di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Shamsul Anuar berkata menerusi latihan yang disediakan AADK, pegawai agensi itu akan dapat melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran untuk membantu penagih dadah menjalani kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya.
“Saya juga yakin atas keupayaan AADK dalam menangani jenis-jenis dadah sintetik yang baharu...kita dah buat pelbagai persediaan termasuk untuk tambah Puspen, selain kemudahan dan kepakaran,” katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 475 pegawai AADK menerima penganugerahan Sijil Perakuan Amalan bagi Program Persijilan AADK selepas berjaya mencapai tahap kompetensi menerusi tiga program iaitu Sijil Amalan Pendidikan Pencegahan (CPE), Sijil Amalan Rawatan dan Pemulihan (CPP) serta Sijil Amalan Penguatkuasaan (CEP).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial