AM

74,699 Kenderaan Dikenakan Tindakan Setakat Oktober - JPJ Pahang

30/10/2024 11:09 PM

KUANTAN, 30 Okt (Bernama) -- Sebanyak 74,699 kenderaan persendirian dan perdagangan telah diambil tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang menerusi operasi yang dijalankan bagi tempoh 1 Jan hingga 28 Okt lepas. 

Menurut JPJ Pahang dalam kenyataan malam ini, secara keseluruhannya sebanyak 325,326 kenderaan telah diperiksa dalam tempoh itu.

“Terdapat 33,171 kesalahan membabitkan tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh dikesan manakala tiada perlindungan insurans adalah sebanyak 22,001 kesalahan.

“Secara keseluruhannya, notis saman JPJ P22 yang dicatatkan sepanjang tempoh itu termasuklah berkaitan lesen memandu dan tiada perlindungan insurans adalah sebanyak 126,912. Berhubung dengan jumlah kes berkaitan muatan pula, sebanyak 9,416 kes direkodkan,” menurut kenyataan itu. 

Jabatan itu turut memaklumkan jumlah kenderaan disita adalah sebanyak 1,091 di seluruh negeri.

Sehubungan itu, JPJ Pahang menyeru pengguna dan orang awam supaya mematuhi undang-undang jalan raya bagi memastikan perjalanan selamat terutamanya ketika musim perayaan ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan