AM

Malaysia Lancar Pertubuhan Global Tangani NCD Melalui Perubatan Senaman

04/11/2024 10:43 AM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Malaysia secara rasmi melancarkan International Society on Exercise Medicine (ISEM), sebuah inisiatif global untuk mempromosikan senaman sebagai kaedah penting untuk pencegahan dan intervensi penyakit tidak berjangkit (NCD).

ISEM komited untuk menjadikan perubatan senaman sebagai kaedah utama dalam menangani NCD yang terus menjadi cabaran kesihatan di Malaysia dan seluruh dunia.

Presiden ISEM Dr Henry Siew berkata pertubuhan itu bertujuan mentakrifkan semula senaman bahawa ia bukan sekadar pilihan gaya hidup, tetapi juga sebagai intervensi penting untuk pencegahan penyakit.

"Kami memberi tumpuan kepada membina kesedaran global, berkongsi pandangan praktikal, dan menetapkan asas untuk bersenam agar menjadi pendekatan arus perdana dalam menangani NCD," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Melalui acara utama iaitu Persidangan Dunia mengenai Perubatan Senaman, beliau berkata ISEM telah melancarkan program pendidikan global untuk berkongsi pandangan dan kemajuan dalam perubatan senaman itu.

Persidangan yang berlangsung enam kali setakat ini – terbaharu di Hyderabad, India – dijangka diadakan di Kelantan bagi edisi ketujuh.

Di Malaysia, ISEM memacu perubahan melalui inisiatif berasaskan komuniti, seperti pemeriksaan kesihatan dan program senaman berstruktur.

Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, ISEM membuka dua klinik senaman iaitu di Kuala Ketil, Alor, Setar, Kedah dan Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan, dengan pesakit NCD menerima sesi senaman yang disesuaikan sebagai rawatan pertama.

Berhubung penduduk Malaysia yang semakin menua, ISEM menyokong penubuhan Pusat Penuaan Aktif dan kemudahan pemulihan di Pengerang, Johor, satu inisiatif yang dipimpin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dengan jangkaan 15 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 60 tahun menjelang 2030, kemudahan itu bertujuan meningkatkan kualiti hidup warga tua di negara ini melalui program pemulihan dan senaman yang khusus.

ISEM juga mempertingkatkan penyelidikan dalam perubatan senaman, termasuk kajian terkini mengenai tahap kalium serum untuk mencegah kematian mengejut akibat serangan jantung, dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS). 

Pada peringkat global, pertubuhan itu menjalin kerjasama dengan institusi berprestij termasuk Universiti Sains Sukan Hungary, Persatuan Perubatan Senaman Taiwan, dan institusi di India, Slovakia, Itali, United Kingdom, Kanada, Jepun, Indonesia, dan Finland.

Dr Siew turut menekankan bahawa kerjasama itu mencerminkan komitmen ISEM untuk menjadikan perubatan senaman sebagai satu bidang diiktiraf pada peringkat global yang selamat, berkesan dan disahkan secara saintifik.

"Dengan memperluas rangkaian antarabangsa, kami dapat memastikan standard yang tinggi dan konsisten dalam program senaman," katanya dan menambah bahawa ISEM telah membuka keahlian dari dalam dan luar negara, institusi, dan masyarakat yang ingin memajukan bidang perubatan senaman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan