BANGI, 4 Nov (Bernama) -- Pemimpin desa di seluruh negara diminta supaya sentiasa mengemaskinikan maklumat dan data komprehensif berhubung kawasan yang dipimpin, bagi memastikan bantuan dan program disalurkan dengan berkesan dan mengikut keutamaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata data terkini berhubung kawasan yang dipimpin adalah penting supaya mereka yang tergolong dalam kumpulan sasaran kerajaan dapat terus disantuni.
“Pendekatan saya, jangan hanya pilih adik-beradik, kaum keluarga, kawan rapat (untuk mendapat bantuan atau manfaat program) sedangkan mereka yang memerlukan tidak disantuni.
“Kita mesti menyantuni mereka yang benar-benar memerlukan, layak mendapat bantuan untuk diberikan,” katanya kepada media di Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI Tahun 2024, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dengan adanya data yang tepat, kementerian boleh membantu membangunkan aplikasi dua-hala untuk memastikan bantuan disalurkan secara lancar, tanpa pertindihan dan efektif.
Beliau berkata aplikasi itu juga boleh digunakan untuk memaklumkan sebarang inisiatif kerajaan kepada rakyat serta membantu syarikat atau syarikat pemula melihat potensi projek komuniti yang boleh dilaksanakan bersama.
Sementara itu merujuk kepada Belanjawan 2025, Ahmad Zahid berkata pihaknya akan memastikan semua peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) disalurkan kepada kumpulan sasaran.
“Kita mempunyai sistem penyampaian melalui ekosistem yang telus dan apa yang kita lebih sasarkan sekarang ini ialah keperluan infrastruktur di luar bandar terutamanya dalam telekomunikasi.
“Kita akan meminta Kementerian Digital untuk mempergunakan pendekatan kawasan yang tidak berpendudukan tinggi untuk juga diliputi sistem (rangkaian) 5G. Saya harap dengan pertambahan peruntukan Belanjawan 2025, perkara ini akan dilakukan dengan segera,” katanya.
Ahmad Zahid berkata dalam Belanjawan 2025, KKDW telah menerima peruntukan sebanyak RM11.96 bilion, meningkat RM405.27 juta atau 3.51 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, beliau berkata RM7.49 bilion dikhususkan untuk pembangunan lebih 8.1 juta penduduk desa.
Beliau berkata melalui Belanjawan 2025 juga, kerajaan terus memberi tumpuan kepada infrastruktur asas di kampung, desa, dan kawasan pedalaman dengan peruntukan hampir RM2.9 bilion, dengan RM1.8 bilion daripada jumlah itu diperuntukkan untuk projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa, RM500 juta untuk bekalan air dan elektrik luar bandar, serta lebih RM350 juta untuk pembinaan dan penyelenggaraan jambatan uzur serta pemasangan lampu jalan kampung.
“Selain itu, KKDW juga diperuntukkan RM499 juta di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) bagi membasmi kemiskinan luar bandar.
“Antara inisiatif SPKR adalah Program Perumahan Rakyat Sejahtera, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program Peningkatan Pendapatan,” katanya.
Lebih 1,200 peserta yang mewakili Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli hadir ke Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI.
Objektif pelaksanaan konvensyen itu secara umumnya adalah sebagai wadah dan medan interaktif peringkat nasional yang memberi ruang kepada pengurusan tertinggi kementerian dan kepimpinan negara untuk berinteraksi secara terus dengan pemimpin akar umbi dan masyarakat luar bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial