Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Isnin dengan mencecah paras intra harian tertinggi, dipacu oleh aktiviti memburu saham wajaran tinggi, terutama perladangan dan pembinaan.
Pada 5 petang ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 12.45 mata atau 0.77 peratus kepada 1,616.43 daripada 1,603.98 pada akhir dagangan Jumaat lepas.
Sewaktu urus niaga dibuka, indeks berkenaan mengukuh 3.77 mata kepada 1,607.75 iaitu paras terendah dalam dagangan hari ini sebelum meneruskan peningkatan sepanjang sesi dagangan berikutnya.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 537 berbanding 485 manakala 502 lain tidak berubah, 877 tidak diniagakan dan 30 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan susut kepada 2.41 bilion unit bernilai RM2.15 bilion berbanding 2.47 bilion unit bernilai RM2.14 bilion pada minggu lepas.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata aktiviti memburu saham-saham perladangan berterusan sejak minggu lepas ketika harga niaga hadapan minyak sawit mentah menghampiri RM5,000 satu tan hari ini.
“Di peringkat domestik, prospek kekal optimis namum berhati-hati. Pelabur disaran untuk terus berwaspada berikutan ketidaktentuan pasaran yang ketara akibat perkembangan global seperti geopolitik dan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).
“Pada masa ini, FBM KLCI kekal dalam mod konsolidasi berikutan jumlah dagangan di bawah paras purata. Kami menjangkakan fasa ini berterusan sehingga wujud peningkatan penyertaan pasaran yang lebih ketara.
“Susulan itu, kami menjangkakan indeks penanda aras akan bergerak dalam julat 1,610-1,630 pada minggu ini," katanya kepada Bernama.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pasaran menyaksikan pelabur tempatan dan asing melakukan aktiviti membeli saham berharga rendah ketika mengambil kedudukan susulan perkembangan utama di peringkat global.
“Ini termasuk pilihan raya presiden AS, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan datang dan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang hanya mempengaruhi turun naik jangka pendek di pasaran.
“Walaupun ramai pihak menjangkakan FOMC melakukan pengurangan 25 mata asas manakala BNM lebih bersifat bertahan, ketidakentuan yang membabitkan pilihan raya presiden AS terus membayangi unjuran itu,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional melonjak 18.0 sen kepada RM14.08, CIMB Group naik 9.0 sen kepada RM8.04, IHH Healthcare meraih 5.0 sen kepada RM7.33, Maybank naik 4.0 sen kepada RM10.44 namun Public Bank merosot 4.0 sen kepada RM4.42.
Bagi saham aktif, Cape EMS naik 3.5 sen kepada 34.5 sen, Bahvest Resources menokok 9.5 sen kepada 93.5 sen dan Sorento Capital naik 2.0 sen kepada 39.5 sen manakala Pegasus Heights turun 0.5 sen kepada 0.5 sen dan Ta Win Holdings susut 1.0 sen kepada 1.5 sen
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menambah 77.46 mata kepada 12,205.80, Indeks FBMT 100 menokok 77.4077.40 mata kepada 11,917.19, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 92.84 mata kepada 12,195.28, Indeks FBM 70 naik 61.97 mata kepada 17,740.90 manakala Indeks FBM ACE meraih 62.46 mata kepada 5,058.81.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 43.92 mata kepada 19,048.68, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.33 mata kepada 174.90 dan Indeks Tenaga meraih 3.60 mata kepada 842.40 manakala Indeks Perladangan pula melonjak 123.52 mata kepada 7,579.89.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.32 bilion unit worth RM1.85 bilion from 1.23 bilion unit bernilai RM2.25 bilion.
Selain itu, waran meningkat kepada 609.49 juta unit bernilai RM104.46 juta daripada 579.27 juta unit bernilai RM88.66 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 481.89 juta unit bernilai RM190.91 juta berbanding 331.46 juta unit bernilai RM106.75 juta pada minggu lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 193.29 juta saham diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (324.11 juta), pembinaan (84.27 juta), teknologi (146.47 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (69.93 juta), hartanah (164.50 juta) dan perladangan (88.03 juta),
Sementara itu, Bursa Malaysia Securities Bhd mengumumkan saham DS Sigma Holdings Bhd akan dipindahkan dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama di bawah sektor produk dan perkhidmatan perindustrian berkuat kuasa pada 6 November ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial