KUCHING, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaaan menerusi agensi berkaitan membuka kaunter pembayaran tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di beberapa lokasi mengikut bahagian dan zon di Sarawak secara berperingkat bermula 19 Okt hingga 27 Nov ini.
Perbendaharaan Malaysia Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pembukaan kaunter pembayaran tunai dilaksanakan bagi memudahkan penerima yang layak serta tidak mempunyai akaun bank di kawasan pedalaman mendapatkan sumbangan masing-masing.
Di Zon Selatan merangkumi bahagian Sri Aman, Betong dan Samarahan, lokasi kaunter pembayaran akan dibuka di Pejabat Daerah Lingga dan Dewan Persatuan Nelayan Kawasan Sebuyau pada 23 Nov diikuti di Dewan Masyarakat Tebedu pada 23 hingga 24 Nov manakala kaunter telah dibuka di Dewan Masyarakat Sri Krian dan Dewan Mesra Simunjan pada 19 hingga 20 Okt lepas.
Bagi Zon Tengah merangkumi Julau dan Mukah, kaunter pembayaran akan dibuka pada 9 Nov di Stadium Perpaduan Dalat dan Dewan Masyarakat Daro, manakala pada 16 Nov pula, kaunter akan dibuka di Dewan Masyarakat Julau dan Laman Pakan berdekatan dengan Dewan Masyarakat Pakan.
Di Zon Utara pula, kaunter pembayaran di Balai Raya Sebauh akan dibuka pada 9 Nov ini. Terdahulu, kaunter telah dibuka di Dewan Lamin Adet Bangen Kimet Uma Baha Apau Koyan, Sg Asap dan Dewan Sekolah Kebangsaan Tatau pada 2 hingga 3 Nov lepas.
Kaunter pembayaran Zon Utara juga telah dibuka di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bakong, Miri pada 26 Okt lepas manakala di Dewan Masyarakat Bekenu dan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kee Tee, Long Lama pada 26 hingga 27 Okt.
Menurut kenyataan itu, kesemua kaunter dibuka pada 8.30 pagi hingga 4.30 petang kecuali di Pejabat Daerah Lingga, kaunter dibuka pada 8.30 pagi hingga 2.00 petang sahaja.
Bagi memastikan kelancaran program penunaian, penerima atau waris berdaftar diwajibkan hadir mengikut tarikh yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan selain diminta membawa Mykad, Mykid atau surat beranak asal.
Kaunter berasingan akan disediakan untuk penerima warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.
Sekiranya penerima atau waris berdaftar tidak dapat hadir ke lokasi bayaran pada tarikh ditetapkan, penunaian masih boleh dibuat di semua cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) berdekatan sebelum 31 Dis ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial