AM

Remaja Autisme Ditemukan Lemas Di Jeti Marina Bay

04/11/2024 09:01 PM

MUAR, 4 Nov (Bernama) -- Seorang remaja lelaki autisme yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya Sabtu lepas ditemukan lemas di jeti Marina Bay di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata mayat remaja berusia 14 tahun itu ditemukan terapung sekitar 7.30 pagi. 

Beliau berkata pemeriksaan mendapati mayat yang dijumpai menunjukkan persamaan dengan pakaian terakhir dipakai mangsa yang dilaporkan hilang itu. 

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke unit forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini bagi tujuan pengecaman dan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis sudah membuka kertas siasatan bawah kematian mengejut (SDR).

Raiz Mukhliz berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa yang berusia 50 tahun semalam mengenai anak lelakinya didapati keluar dari rumah mereka di Bakri di sini dan memaklumkan kali terakhir dia bertemu dengan anaknya itu kira-kira 11.30 malam, Sabtu lepas. 

Beliau berkata bapa mangsa yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan turut menyatakan mangsa sering keluar dari rumah tanpa pengetahuannya.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat  berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Suhaimi Ahmad di talian 013-3975290 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di talian 06-9566001 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan