EKONOMI

Rangkaian 5G Kedua Malaysia Dijangka Dorong IIoT, Sektor Lebar Jalur Tinggi - BMI

07/11/2024 01:43 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- BMI yang juga unit Fitch Solutions melihat potensi rangkaian 5G kedua Malaysia berperanan sebagai penyedia kesalinghubungan khusus terutama dalam menyokong aplikasi Internet Kebendaan Perindustrian (IIoT).

Dalam kenyataannya hari ini, firma penyelidikan itu berkata rangkaian itu juga boleh menyediakan keperluan kandungan digital lebar jalur tinggi dan penyedia infrastruktur seperti penyiar dan pengendali pusat data bagi mengisi permintaan yang semakin meningkat dalam perkhidmatan dipacu data.

“Fokus sedemikian akan menjadi lebih mampan sekiranya tahap pelaburan lebih rendah diperoleh daripada penyokong di samping turut memberikan pembezaan mencukupi yang boleh menarik minat pemegang saham Digital Nasional Bhd (DNB) seperti CelcomDigi dan Maxis.

“Bagaimanapun, senario ini dilihat tidak mungkin berlaku dan kami menjangka keputusan pada akhirnya adalah penciptaan dua rangkaian 5G berasingan yang mungkin bergelut untuk wujud bersama dengan kaedah yang mampan,” katanya.

Rangkaian 5G DNB mencapai liputan penduduk sebanyak 80 peratus pada awal 2024, membolehkan kerajaan meneruskan rancangan untuk mewujudkan pemain kedua.

Walaupun pada masa ini ia menyokong beberapa juta sambungan 5G, menjana jumlah yang besar bagi trafik suara dan data yang menjana keuntungan, projek itu dijangka mengambil masa beberapa tahun untuk memberikan pulangan pelaburan yang signifikan.

Pada 1 November, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan rangkaian 5G kedua Malaysia akan dilaksanakan oleh U Mobile Sdn Bhd selepas pihaknya melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih pengendali rangkaian mudah alih bagi projek ini.

Menurut BMI, ini dilihat U Mobile tidak perlu meneruskan kerjasama dengan DNB yang sedang membina rangkaian 5G borong pertama.

Sekiranya keadaan ini berlaku, syarikat telekomunikasi lain yang melabur dalam DNB (CelcomDigi, Maxis dan YTL Power) mungkin perlu menyesuaikan komitmen kewangan masing-masing di samping mempertimbangkan sama ada untuk menarik diri dan melabur dalam pemain 5G baharu atau kekal dengan DNB dan meningkatkan komitmen mereka dalam projek tersebut.

“Risikonya adalah semua sumbangan pelaburan 5G oleh kalangan pemain ini perlu ditingkatkan, mungkin melebihi kemampuan sedia ada atau yang dirancang,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata unjuran jangka pendek adalah bergantung kepada maklum balas Telekom Malaysia. Walaupun ia telah menandatangani kontrak untuk melabur dalam DNB, kelulusan pemegang saham tertangguh dan akhirnya ia digugurkan daripada DNB.

Pada masa ini Telekom Malaysia mungkin mempertimbangkan untuk menyertai pengendali yang diteraju U Mobile.

Bagaimanapun BMI berkata sekiranya Telekom Malaysia masih tidak pasti untuk menyertai DNB disebabkan kebimbangan mengenai tahap obligasi pelaburannya, ia mungkin enggan menyertai pemain baharu jika menjadi sebahagian daripada kumpulan penyokong yang lebih kecil.

BMI berkata MCMC adalah antara agensi pengawal selia yang boleh dipercayai di pasaran telekomunikasi Asia Tenggara, justeru ia yakin agensi itu telah menjalankan proses penilaian wajar yang menyeluruh untuk membuat keputusan itu.

“Sehubungan itu, kami berpendapat U Mobile mempunyai sumber kewangan dan teknikal yang diperlukan untuk menyokong rangkaian 5G baharu secara mampan, dengan syarat boleh membawa pelabur tambahan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan