BERITA TERGEMPAR | PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | |
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas), melalui bahagian Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) memeterai dua memorandum persefahaman (MOU) bertujuan meningkatkan kecekapan teknologi dan operasi dalam sektor penerokaan dan pengeluaran (E&P) Malaysia.
MOU pertama dimeterai dengan Schlumberger WTA (Malaysia) Sdn Bhd (SLB), memfokuskan kepada meningkatkan keupayaan teknikal dalam kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin dan teknologi janaan AI.
"Kerjasama ini bertujuan untuk menyepadukan penyelesaian dipacu AI termaju ke dalam platform data MPM, merevolusikan pengurusan dan tafsiran data. Langkah ini akan menyokong operasi luar pesisir Malaysia, memberikan nilai yang dipertingkatkan kepada kontraktor pengaturan petroleum (PAC) yang baharu muncul ,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, MOU kedua bersama Velesto Drilling Sdn Bhd dan NOV Inc adalah untuk mewujudkan rangka kerja penubuhan sistem automasi penggerudian dan teknologi robotik NOV di pelantar kendalian Velesto.
Petronas berkata kerjasama tersebut bertujuan mengoptimumkan operasi penggerudian di Malaysia dengan meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos dan menyokong inisiatif kemampanannya.
Ia juga untuk memacu penggunaan teknologi, mempromosikan penyelesaian inovatif di seluruh sektor huluan Malaysia.
MOU itu dimeterai di Abu Dhabi International Petroleum Exhibition and Conference 2024, yang berlangsung pada 4 hingga 7 November di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.
Naib Presiden Kanan MPM Datuk Bacho Pilong berkata kerjasama strategik dengan SLB, Velesto dan NOV menandakan lonjakan ke hadapan bagi MPM dan sektor E&P.
Beliau berkata dengan beralih kepada transformasi digital, MPM bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi tetapi juga membuka jalan bagi penyelesaian data generasi akan datang serta membawa nilai yang besar kepada PAC, terutamanya pemain baharu muncul dan pelabur baharu.
“Melalui kerjasama ini, kami membina ekosistem yang kukuh untuk mengupayakan akses kepada PAC kami. Perbincangan untuk merintis data SLB dan platform AI telah menjana minat yang tinggi dalam kalangan PAC Aset Medan Minyak Kecil dan Aset Medan Minyak Hujung Hayat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial