BERITA TERGEMPAR   PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | 
 EKONOMI

Potensi Eksport Malaysia, Aliran Masuk FDI Dijangka Lebih Cerah Dengan Kemenangan Trump

07/11/2024 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Strategi “China Plus One” dijangka lebih pesat susulan Donald Trump diundi semula sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), yang akan memberi manfaat kepada Malaysia melalui peningkatan pelaburan dan potensi eksport lebih cerah.

Perkara itu melibatkan sektor terutamanya elektronik, jentera, dan minyak sawit.

Ahli Ekonomi Kanan CIMB Securities Vincent Loo dalam membuat jangkaan itu berkata kembalinya Trump ke Rumah Putih mengukuhkan trajektori peningkatan tarif dan dasar perlindungan AS, termasuk cadangan tarif 10 peratus ke atas semua barangan import dan tarif khusus 60 peratus ke atas barangan dari China.

“Memandangkan ketegangan perdagangan AS-China semakin meningkat, Malaysia dijangka mencatatkan permintaan eksport yang lebih tinggi daripada syarikat AS yang mencari produk di luar China.

“Ini membuka peluang pertumbuhan eksport dalam sektor bernilai tinggi,” katanya menerusi nota penyelidikan pada Khamis.

Beliau berkata pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia dijangka meningkat apabila kalangan syarikat itu mencari asas pembuatan yang stabil di rantau ASEAN, dengan negara ini muncul sebagai destinasi yang kompetitif susulan infrastruktur yang baik dan kos pengeluaran yang agak rendah.

“Bagaimanapun, ketidakpastian baharu mengenai perdagangan boleh menimbulkan sentimen enggan ambil risiko dalam pasaran kewangan.

“Ini mendorong pelabur mencari aset selamat, yang menyokong pengukuhan dolar AS manakala aliran keluar modal dari pasaran yang sedang pesat membangun termasuk Malaysia akan menjadi lebih ketara,” katanya.

Loo berkata tarif lebih tinggi ke atas barangan dari China mungkin mendorong syarikat AS mengalihkan penyumberan dari China kepada Malaysia, sekali gus meningkatkan permintaan eksport terhadap komponen semikonduktor dan elektronik Malaysia.

Bagaimanapun, jika ketegangan perdagangan semakin buruk, permintaan keseluruhan mungkin menurun, menyebabkan pengurangan eksport ke AS dan China, katanya.

Beliau berkata eksport jentera dan peralatan Malaysia dijangka mendapat manfaat apabila AS mencari alternatif kepada produk China, sama seperti eksport elektrik dan elektronik (E&E.

“Bagaimanapun, tarif lebih tinggi dan halangan perdagangan boleh meningkatkan kos dan mengurangkan permintaan perdagangan global, dan ini memberi kesan kepada jumlah perdagangan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, dasar tenaga "America First" oleh Trump dengan penekanan untuk meningkatkan pengeluaran AS, boleh menurunkan harga tenaga global, mengurangkan nilai eksport bahan api mineral Malaysia, katanya.

CIMB Securities mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 5.2 peratus pada 2024 dan 5.0 peratus untuk 2025 walaupun prospek eksport-import mungkin menghadapi risiko meningkat berikutan peningkatan aliran perdagangan yang tidak menentu dan ketidaktentuan dalam paras pertukaran asing.

“Kami terus menjangka pemulihan permintaan luaran yang dipacu kitaran semula teknologi global, serta perbelanjaan domestik yang kukuh disokong oleh pelaburan yang teguh dan perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan,” kata Loo.

Ringgit dijangka mengalami ketidaktentuan dalam masa terdekat, tetapi ini pada akhirnya bergantung kepada keputusan dasar Rizab Persekutuan AS, katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjelaskan pengembangan strategi “China Plus One” akan memberi manfaat kepada sektor perkhidmatan pembuatan elektronik Malaysia berikutan pemilik jenama beralih atau mempelbagaikan pengeluaran mereka dari China.

Peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia pula akan memberi kebaikan kepada sektor seperti pembinaan, hartanah industri, dan amanah pelaburan hartanah (REIT).

HLIB memaklumkan lebih banyak ketidakstabilan ekonomi dan ketidaktentuan pasaran dijangka berlaku di bawah kepimpinan Trump berikutan pendekatan beliau yang agak berterus terang.

“Ini bukanlah aspek yang negatif sepenuhnya memandangkan Malaysia meraih manfaat daripada perang perdagangan AS-China yang berterusan.

“Bagaimanapun, risiko utama untuk kali ini adalah sekiranya beliau mengheret seluruh dunia dengan cadangan tarif keseluruhan sebanyak 10-20 peratus. AS adalah destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia pada 2023 dengan 11.3 peratus,” tambahnya.

Buat masa ini, bank pelaburan itu mengekalkan sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI bagi akhir 2024 pada 1,700.

"Tumpuan pelaburan kami mengenai pemulihan pelancongan, peralihan tenaga, menggiatkan pembangunan Johor dan langkah meningkatkan pendapatan boleh guna sewajarnya agak terlindung daripada keputusan pilihan raya AS manakala penerima manfaat perang perdagangan mungkin menyaksikan minat baharu,” jelas HLIB.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan