AM

SIRIM Lancar SIRIM ESG Holistic Ecosystem, Mempercepat Amalan ESG Dalam Industri

07/11/2024 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- SIRIM Berhad (SIRIM) hari ini melancarkan SIRIM ESG Holistic Ecosystem, satu inisiatif yang bertujuan menyokong dan mempercepat amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan industri Malaysia.

Ekosistem berkenaan direka bagi memperkasakan perniagaan bagi mencapat matlamat kelestarian dan menyumbang secara bermakna kepada objektif alam sekitar negara dan global.

Pengerusi SIRIM Berhad Datuk Khairol Anuar Mohamad Tawi berkata ekosistem berkenaan berfungsi sebagai penyelesaian penting dalam meletakkan Malaysia selaku peneraju dalam amalan yang lestari dan bertanggungjawab.

Beliau berkata ekosistem berkenaan bukan sahaja mengenai pematuhan, tetapi juga tentang membolehkan industri berkembang maju pada skala global dengan menerima pertumbuhan dan inovasi yang mampan.

“Melalui pensijilan yang ketat, latihan dan keupayaan ujian lanjutan, peranan SIRIM melangkaui sekadar pensijilan; kami memberi kuasa kepada syarikat dengan ‘pasport untuk kemakmuran’, membolehkan mereka berkembang dalam pasaran yang menghargai integriti dan daya saing ESG.

"Melalui pelaburan dalam ekosistem ini, kami sedang mempersiapkan industri untuk berjaya di pasaran global dan dengan mengekalkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persaingan Dunia,” katanya ketika ditemui pada Majlis SIRIM Industri 2024 di sini hari ini.

Majlis SIRIM Industri 2024 bertemakan ESG: 50 Years of Change, adalah acara tahunan yang memberi tumpuan pada pengukuhan hubungan dan kerjasama antara SIRIM, industri dan agensi kerajaan serta mengiktiraf organisasi dan syarikat yang menerima pensijilan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd pada 2023.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Bahria Mohd Tamil dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Datuk Dr Ahmad Sabirin Ahmad.

Terdahulu dalam ucapannya, Khairol Anuar berkata SIRIM sedang membantu MITI dalam pelaksanaan program Smart Tech Up yang bertujuan menubuhkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.

“Sektor yang diberikan keutamaan ialah elektrik dan elektronik, kimia dan peranti perubatan, aeroangkasa dan farmaseutikal, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya.

Sementara itu, Khairol Anuar berkata Garis Panduan Pusat Data SIRIM telah disiapkan dan diserahkan kepada MITI untuk pertimbangan.

Beliau berkata pusat data mempunyai jejak alam sekitar yang besar, justeru, adalah penting untuk memastikan negara mengimbangi pelaburan pusat data dengan hasrat mencapai sifar bersih.

“Garis Panduan Pusat Data akan memastikan pusat data menangani aspek seperti teknologi penyejukan berkesan, mendapatkan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui dan memaksimumkan kecekapan tenaga selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan