AM

Laporan Pertama Ombudsman Sarawak Dibentangkan Di DUN Tahun Depan 

08/11/2024 03:40 PM

KUCHING, 8 Nov (Bernama) -- Ombudsman Sarawak dijangka membentangkan laporan pertama badan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tahun depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata Ordinan Ombudsman telah berkuat kuasa April lepas dan Ketua Ombudsman Sarawak baharu dilantik pada Jun.

“Buat masa ini kita sedang mengurus urusan pentadbiran, perjawatan dan operasi. Jadi dijangka bermula tahun depan kita akan buat pelaporan aktiviti dan kes dikendalikan ombudsman pada DUN Sarawak.

“Jadi pada sidang DUN akan datang ini (November) belum ada sebarang laporan dari pihak ombudsman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri bengkel berkaitan rasuah dan liabiliti undang-undang untuk ahli DUN, di sini, hari ini.

Pada 20 Nov tahun lepas, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang Ombudsman Sarawak 2023, yang akan membolehkan orang ramai melaporkan salah tadbiran agensi perkhidmatan awam negeri.

Rang undang-undang yang dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu diluluskan sebulat suara.

Dalam ucapan penggulungannya, Awang Tengah berkata laporan aktiviti ombudsman dan siasatan akan disiarkan sepenuhnya di DUN termasuk sebarang penemuan, syor dan pendapat ombudsman.

“Satu Jawatankuasa Pilihan Khas boleh dilantik atas usul dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat untuk menimbangkan sebarang perkara berbangkit daripada laporan itu. Tidak seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), laporan dibuat ombudsman mempunyai kuasa undang-undang,” katanya.

Beliau berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri juga tertakluk kepada siasatan serta penelitian ombudsman.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan