AM

13,592 Anjing Dan Kucing Di Sarawak Divaksin Cegah Rabies

11/11/2024 09:49 AM

SEREMBAN, 9 Nov (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah memvaksin 13,592 ekor anjing dan 165 kucing bertuan di Sarawak bagi pencegahan jangkitan rabies untuk tempoh Januari hingga Oktober lepas.

Ketua Pengarah Dr Akma Ngah Hamid berkata Sarawak mencatatkan 81 kes jangkitan rabies dalam kalangan manusia, 74 kematian akibat penyakit itu bagi tempoh 2017 hingga Oktober lepas manakala 1,103 kes dikesan terhadap haiwan iaitu 88.9 peratus melibatkan anjing, kucing (10.9 peratus) dan kambing (0.2 peratus) bagi tempoh sama.

Beliau berkata sejumlah 6,928 anjing bertuan di kawasan penampan rabies di Semenanjung Malaysia dan Sabah turut menerima vaksin pada Januari hingga Oktober tahun ini bagi meningkatkan imuniti anjing sebanyak 70 peratus serta memastikan jangkitan rabies dapat dihindari dalam populasi haiwan itu.

"Vaksin mencukupi, pembelian dibuat berdasarkan populasi anjing, kita ada lebihan bagi vaksin rabies dan pemilik haiwan digalakkan mengambil vaksin ini.

"Kesedaran pemilik haiwan terutamanya pemilik haiwan yang berada di negeri di sempadan Thailand dalam radius 50 kilometer (km) hingga 80 km amat tinggi, kebiasaanya pemilik haiwan membuat suntikan vaksin rabies ke atas anjing peliharaan mereka setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Rabies Sedunia 2024 di Palm Mall dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Veterinar) Dr Rohaya Mohd Ali dan Pengarah DVS negeri Dr Nurul Ain Ahmad.

Dr Akma dalam ucapannya berkata pemilik haiwan di kawasan berisiko seperti di kawasan penampan diseru memvaksin haiwan kesayangan setiap tahun bagi melindungi haiwan serta manusia daripada ancaman penyakit berkenaan. 

Sementara itu, Dr Akma berkata Hari Rabies Sedunia kali ini bertemakan 'Melangkaui Sempadan Rabies' bertujuan menyeru setiap lapisan masyarakat berganding bahu melindungi diri dengan meningkatkan kesedaran dan memberikan komitmen berterusan terhadap ancaman rabies.

Rabies adalah penyakit anjing gila atau zoonotik boleh menjangkiti haiwan dan manusia melalui gigitan, cakaran atau pendedahan luka terbuka, mulut dan mata daripada lelehan air liur haiwan dijangkiti rabies.

Penyakit disebabkan Lyssavirus ini berupaya menjangkiti semua spesies mamalia seperti anjing, kucing, monyet, kelawar, musang termasuk manusia dengan menyerang sel otak serta menggangu sistem saraf seterusnya mengakibatkan kematian jika tidak dirawat segera.

Dr Akma berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui DVS dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan lain sentiasa komited dan mengambil langkah proaktif dalam membasmi penyakit rabies di negara ini.

Beliau berharap agensi berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah terbaik dalam mengawal populasi anjing terbiar di negeri masing-masing sebagai langkah membendung penyakit rabies.

Dalam pada itu, bersempena program hari ini, pelbagai aktiviti diadakan antaranya pertunjukan anjing terlatih, pameran kucing, seminar kesedaran rabies, pertandingan mewarna, gerai pet shop dan pelbagai lagi.
-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan