DUNIA

PM Anwar Seru Sokongan Global Untuk UNRWA, Tolak Usaha Israel Melemahkan Badan Itu

12/11/2024 11:15 AM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus menyokong peranan penting Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Asia Barat.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan Anwar berucap di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam pada Isnin di Riyadh, Arab Saudi dengan tegas  menolak keputusan Israel yang bertujuan untuk menafikan legitimasi badan antarabangsa itu.

“Beliau (Anwar) menegaskan komitmen Malaysia terhadap UNRWA dan peranan pentingnya dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan kritikal bagi meringankan penderitaan pelarian Palestin,” menurut kenyataan itu.

Sidang kemuncak di Riyadh itu diadakan untuk membincangkan langkah-langkah menamatkan genosid yang berterusan terhadap rakyat Palestin.

Dalam sidang kemuncak itu, Anwar mengulangi komitmen Malaysia untuk menamatkan pencerobohan Israel yang berterusan, menyokong perjuangan Palestin dan menyokong resolusi yang dikeluarkan oleh Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam.

“Malaysia juga menegaskan komitmennya terhadap pembinaan semula Gaza, dengan menekankan keperluan kritikal untuk tindak balas antarabangsa segera dan diselaraskan bagi mencapai matlamat ini, yang akan memudahkan kepulangan rakyat Palestin ke tanah air mereka,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut memaklumkan Anwar mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), yang jelas melanggar Piagam PBB dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta menyeru penggantungan atau pengusiran Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Perdana menteri menyeru masyarakat antarabangsa melaksanakan inisiatif termasuk pengenalan sekatan senjata segera bagi menghentikan genosid Israel terhadap rakyat Palestin.

“Tindakan tegas amat diperlukan untuk menghentikan kezaliman dan keganasan yang tidak terkawal oleh Israel, yang turut mengancam kestabilan rantau ini berikutan serangan rejim berkenaan di Lubnan, Iraq, Iran, Yaman dan Syria,” menurut kenyataan itu.

Di luar Sidang Kemuncak, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin dari Kuwait, Lubnan, Maldives, dan Arab Saudi untuk membincangkan situasi di Palestin, langkah memperkukuh kerjasama dua hala, serta persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, selain penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China.

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan pegawai kanan kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan