AM

Bandar Teknologi Maju Perlis Tawar Lebih 2,000 Peluang Pekerjaan - Fahmi

16/11/2024 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Pembangunan Bandar Teknologi Maju Perlis di Chuping yang dijadual bermula tahun hadapan akan mewujudkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan secara langsung dalam bidang berkaitan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata projek yang menelan keseluruhan kos mencecah US$11 bilion (RM49.17 bilion) itu dijangka mula beroperasi secara berperingkat pada pertengahan 2027.

Beliau berkata projek itu juga akan memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara menerusi jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi awam seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) atau mana-mana institusi berkaitan TVET.

“Anak-anak muda kita akan dapat kemahiran, untuk bantu pengoperasian bandar teknologi ini selain mahir dan memanfaatkan teknologi AI (kecerdasan buatan),” katanya kepada pemberita hari ini.

Fahmi ditemui selepas mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Utama, Pembangunan Bandar Teknologi Maju Perlis melibatkan usaha sama Sirage Capital Sdn Bhd dan Skyvast Sdn Bhd di sini hari ini.

Fahmi berkata pembangunan projek itu termasuk meliputi prasarana bagi memuatkan hingga 1.25 Gigawatt (GW) pusat data AI yang bersifat off-grid atau tidak bersandarkan kepada rangkaian tenaga sedia ada.

“Jadi mereka akan memanfaatkan sumber tenaga sama ada solar, bateri simpanan ataupun turbin gas yang berupaya memungkinkan pusat data 1.25GW ini beroperasi dengan baik.

“Sebab itu pelaburan strategik ini di Chuping kerana uniknya ia antara tempat yang menerima jumlah matahari tertinggi (di Malaysia) selain disokong bentuk muka bumi bersesuaian pembangunan Bandar Teknologi Maju Perlis ini,” katanya.

Menurut Fahmi, konsep off-grid itu dilihat akan menarik perhatian banyak syarikat yang ingin memastikan pelaburan mereka menerima penarafan hijau.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi yakin pembangunan berkenaan akan membantu transformasi ekonomi digital negara terutamanya di Perlis.

“Ini game-changer (pengubah keadaan), satu projek yang angkat Perlis di peta dunia berkaitan pusat data AI, jadi kementerian akan beri dukungan, termasuk bincang beberapa aspek seperti kabel dasar laut bagi memudahkan pembinaan pusat data di Perlis ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan