AM

Bukan Tidak Buat Persiapan Awal Sepenuhnya, Tapi Serba Salah - Mangsa Banjir

20/11/2024 05:56 PM

CHUKAI, 20 Nov (Bernama) -- “Orang ramai boleh kata salah kami tidak buat persiapan awal, tapi mereka tidak tahu kami serba salah untuk buat persiapan itu,” kata Tuan Rafidah Tuan Ariffin, salah seorang mangsa banjir di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong di sini. 

Bercakap kepada Bernama hari ini, wanita berusia 40 tahun itu berkata sukar sebenarnya untuk mereka membuat persiapan awal meskipun faham sepenuhnya erti pepatah “sediakan payung sebelum hujan”.

“Semua yang perlu kami siapkan lebih awal itu adalah apa yang kami gunakan setiap hari. Baju, seluar yang kami guna setiap hari, mesin basuh dan peti sejuk yang juga kami gunakan setiap hari.

“Tapi, tidak bermakna kami tidak bertindak awal sama sekali…kami buat, cuma banjir semalam saya boleh katakan berlaku terlalu cepat dan lebih besar dari dijangka,” katanya. 

Mengimbas kisah malang itu, pegawai teknologi maklumat itu berkata dia keluar untuk mengambil tiga anaknya di sekolah pada 11.30 pagi dan ketika itu hujan masih berterusan sejak awal pagi semalam.

Rumahnya ditinggalkan kosong kerana suaminya sedang bekerja, manakala tiga bakul baju dan dua bakul buku sekolah anaknya telah diletakkan di atas kerusi, sebagai antara persiapan awalnya berdepan banjir itu. 

“Namun, ketika sampai di rumah kira-kira pukul 1 tengah hari, air sudah naik ke kawasan perumahan ini. Saya redah air sedalam paras lutut untuk balik ke rumah. Tapi, semuanya terlambat. Air sudah memenuhi rumah, baju dan buku sekolah yang disiapkan lebih awal juga terendam air,” katanya. 

Tuan Rafidah berkata banjir itu tidak seteruk bah empat tahun lepas tetapi limpahan air kali ini berbau busuk dan lebih berselut sekali gus mendakwa ia berpunca daripada projek perumahan berhampiran. 

Sementara itu, Sam Sulaiman, 22, yang baru lima bulan menginap di situ tidak menyangka akan berdepan musibah itu buat pertama kali dalam hidupnya.

Dia yang sebelum ini tinggal di kampung berhampiran berpindah ke situ apabila mendapat bantuan RMM berkenaan selepas hampir lima tahun membuat permohonan. 

“Memang sebelum berpindah ke sini jiran ada beritahu kawasan ini adakalanya terkena banjir. Tapi hanya setakat longkang sahajalah. Cuma kali ini teruk juga, jadi saya memang terkejutlah dengan pengalaman ini,” katanya yang bekerja sebagai juruteknik itu. 

Tuan Rafidah dan Sam adalah dua daripada 2,620 mangsa banjir di Kemaman yang merupakan daerah pertama dan terburuk dilanda gelombang pertama banjir susulan Monsun Timur Laut tahun ini daripada keseluruhan 2,831 mangsa di lima daerah terjejas setakat 2 petang tadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan