AM

Persiapan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI Capai 85 Peratus

20/11/2024 07:25 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Persiapan Program Dua Tahun MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang akan bermula Jumaat hingga Ahad ini mencapai kira-kira 85 peratus.

Ketua Unit Komunikasi Korporat, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri Sapian Mamat berkata segala persiapan berjalan dengan lancar yang memfokuskan kepada penyediaan reruai dan kaunter-kaunter sedang giat dijalankan selain memastikan susun atur acara bagi memastikan keselesaan pengunjung dan pempamer. 

“Esok kita akan kemaskan lagi dan pastikan dari segi keselamatan semua dijaga dengan baik kerana yang paling penting keselesaan pengunjung yang hadir pada program ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas meninjau persiapan lokasi program 2TM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini. 

Turut diadakan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 bersempena dengan program 2TM yang bertemakan “MADANI di hati, rakyat disantuni” anjuran PACU dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Beliau berkata selain menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan, turut diadakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang tiga hari program itu berlangsung seperti e-sukan, kaunter pengurangan kadar saman  hingga 60 peratus dan pertukaran topi keledar. 

Pelbagai aktiviti lain juga akan diadakan termasuk jualan MADANI, pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan karnival kerjaya.

“Kita turut menjangkakan karnival kerjaya akan menjadi tumpuan dengan lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 40 majikan,” katanya.

Sapian berkata pihaknya turut menjangkakan 200,000 pengunjung hadir ke program berkenaan. 

Program 2TM diadakan bertujuan memberi ruang kepada rakyat agar lebih memahami usaha dan inisiatif Kerajaan MADANI, serta langkah reformasi perkhidmatan awam yang diterjemahkan untuk manfaat secara langsung kepada rakyat.

Program berkenaan juga bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai hala tuju dan matlamat kerajaan yang berpaksikan kepentingan rakyat. 

Majlis perasmian program itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 pagi, 23 Nov.

Sapian menyeru orang ramai untuk hadir bagi memberikan maklum balas terus kepada perkhidmatan kerajaan bagi tujuan penambahbaikan secara berterusan, di samping memanfaatkan pelbagai perkhidmatan serta aktiviti menarik yang disediakan sepanjang penganjuran program itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan