DUNIA

Hantaran Macron Dalam Bahasa Melayu Cetus Kekaguman, Eratkan Hubungan Malaysia-Perancis

21/11/2024 12:03 AM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Presiden Perancis Emmanuel Macron mencuri perhatian ramai apabila menggunakan Bahasa Melayu untuk memuat naik hantaran di akaun rasmi X miliknya, @EmmanuelMacron, mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak G20.

Hantaran itu walaupun ringkas, ditulis sepenuhnya dalam Bahasa Melayu, mencetuskan kekaguman dan rasa ingin tahu dalam kalangan pengguna laman sosial.

Ia dibaca:“Bersama Perdana Menteri Malaysia @AnwarIbrahim, yang juga merupakan Pengerusi ASEAN. Pertemuan pertama ini akan membolehkan kami mempererat hubungan antara negara kami, khususnya dalam bidang peralihan tenaga, salah satu keutamaan bersama kami.”

Turut dimuatkan adalah gambar beliau bersalaman dengan Anwar semasa pertemuan dua hala mereka di Sidang Kemuncak G20 yang baru berakhir di Rio de Janeiro, Brazil.

Pengguna X membanjiri ruangan komen dengan pujian terhadap langkah Macron yang dianggap bijak dan menyentuh hati.

Pengguna X, @ehsan_zakaria menulis: “Ingatkan X terjemah secara automatik, rupanya dia betul-betul guna BM! Bahasa Melayu menduniaaa!”

Sementara itu, @safwanmohamad turut sama menyatakan rasa kagumnya, berkata: “Saya ingat ucapan yang diterjemahkan… Rupanya memang BM.”

Seorang lagi pengguna, @d_syahir, meluahkan rasa bangga dengan tindakan Macron menggunakan Bahasa Melayu: “Bangga aku! Orang luar pun guna Bahasa Melayu.”

Menariknya, hantaran itu juga mengimbau kenangan mengenai hubungan terdahulu Malaysia-Perancis.

Pengguna @azrullez menulis: “Jemput datang ke Malaysia. Kali terakhir Presiden Perancis datang ke Malaysia ialah tahun 2017, iaitu Presiden Francois Hollande.”

Dalam pertemuan di luar Sidang Kemuncak G20 itu, Macron dan Anwar menegaskan komitmen untuk terus memperkukuhkan hubungan serta kerjasama antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan