AM

Ketua Parti Komunis Vietnam To Lam Mulakan Lawatan Rasmi Ke Malaysia

21/11/2024 01:14 PM

SEPANG, 21 Nov (Bernama) -- Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam, tiba di Malaysia hari ini untuk memulakan lawatan rasmi selama tiga hari, menandakan kunjungan pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan tersebut.

Ini merupakan lawatan pertamanya ke Malaysia selepas dilantik sebagai ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos 2024.

Pesawat khas yang membawa Lam, isterinya Ngo Phuong Ly dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada pukul 11.15 pagi.

Antara yang menyambut ketibaan beliau ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, dan Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai.

Lam kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada 31 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Khairul Azmi Jamingon.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Lam akan disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu upacara rasmi, diikuti dengan mesyuarat dua hala.

"Perbincangan mereka akan memberi tumpuan kepada kemajuan hubungan dua hala, terutamanya kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, teknologi digital, serta maklumat dan komunikasi," menurut kenyataan tersebut.

"Mereka juga dijangka menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman bagi Meningkatkan Promosi Perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE); serta Memorandum Kerjasama antara PETRONAS dan PETROVIETNAM dalam bidang tenaga boleh diperbaharui," menurut kenyataan itu.

Kali terakhir Malaysia menerima kunjungan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam adalah pada Mac 1994, setahun sebelum penyertaan rasmi Vietnam ke dalam ASEAN.

Lawatan rasmi ini dijangka akan terus mengukuhkan hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam, sama ada dari segi dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik mahupun dalam platform ASEAN, menurut kenyataan itu.

Pada tahun 2023, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan ke-4 terbesar dalam ASEAN.

Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam mencecah RM80 bilion, dengan eksport Malaysia ke Vietnam bernilai RM52 bilion. Syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih daripada 700 projek di Vietnam dengan jumlah pelaburan sebanyak US$13.1 bilion. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan