AM

Pembukaan Semula Jalan Simpang Pulai Beri Kelegaan Kepada Petani - Exco

21/11/2024 04:11 PM

IPOH, 21 Nov (Bernama) -- Pembukaan semula Jalan Persekutuan FT185 Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) Seksyen 42.7 dekat sini yang dijangka bermula 25 Nov, bakal memberikan kelegaan kepada pengusaha pertanian di sekitar kawasan tanah tinggi itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata walaupun pembukaan yang dirancang itu hanyalah dari 7 malam hingga 7 pagi setelah ditutup sejak 23 Okt, ia akan dapat memanfaatkan petani memandangkan laluan alternatif melalui Jalan Tapah-Cameron Highlands lebih jauh.

“Jika ikut jalan ini (Simpang Pulai), hantar (bertolak) pagi tengah hari sudah boleh sampai ke Pulau Pinang tetapi kalau ikut Tapah jauh sikit, namun bukanlah bermakna perniagaan mereka terhenti 100 peratus.

“Apabila jalan ini kita buka sebelah malam bermula 25 Nov ini sekiranya tidak membahayakan, perkara itu kita percaya akan melegakan (masalah) pengusaha sebanyak 80 hingga 90 peratus,” katanya.

Semalam Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika meninjau proses pembaikan cerun di jalan berkenaan bersama Mohammad Nizar memaklumkan, laluan itu dirancang dibuka semula pada sebelah malam bermula Isnin ini manakala pada waktu siang diberi laluan bagi proses membaik pulih cerun dan jalan.

Sementara itu Mohammad Nizar berkata dalam hal ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan jelas menegaskan tidak akan berkompromi terhadap keselamatan serta nyawa rakyat, walaupun ia melibatkan urusan perniagaan pengusaha sayur dan bunga di kawasan berkenaan.

Seorang petani di Cameron Highlands K Kalaichelvan, 60, berkata masa empat jam diperlukan untuk menghantar sayur-sayuran ke utara seperti Pulau Pinang sekiranya melalui Jalan Tapah-Cameron Highlands, berbanding kira-kira satu jam lebih sahaja jika menggunakan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Beliau berkata para pengusaha pertanian ada kalanya terpaksa menanggung kerugian, kerana sayur atau bunga rosak akibat lambat tiba memandangkan Jalan Tapah-Cameron Highlands sering sesak dengan kenderaan pelancong, selain sempit.

“Selain itu, jika ada kecemasan juga lebih cepat untuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh melalui Simpang Pulai kerana kalau ikut Tapah jauh, ambil masa tiga jam,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap kerajaan dapat mempertimbangkan laluan yang ditutup sejak 23 Okt itu, dibuka khusus kepada para pengusaha pertanian selama dua jam setiap hari dari 12 tengah hari hingga 2 petang bermula 25 Nov ini, bagi mengelakkan kesesakan andai tiada waktu khusus ditetapkan kepada mereka.

“Semalam ada 300 lori berhenti tunggu, mungkin boleh buka kepada pengusaha antara 12 tengah hari hingga 2 petang dan 7 malam hingga 7 pagi untuk pengguna lain,” katanya.

Keseluruhan kerja pembaikan cerun sementara di seksyen berkenaan dijangka selesai akhir bulan depan  dan KKR akan membina pelindung batu kekal atau rockshed yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan