DUNIA

MoU Bersama CMG Cipta Peluang Perkukuh Kerjasama Media - CEO Bernama

22/11/2024 09:19 AM

Oleh Chiang Hee Tze

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan China Media Group (CMG), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama Nur-ul Afida Kamaludin menzahirkan komitmen beliau untuk memperkukuh kerjasama media serta memberikan pandangan berharga bagi menyokong CMG menelusuri dinamik Asia yang kian berkembang.

Menyifatkan MoU itu sebagai pencapaian penting dalam kerjasama Bernama dengan syarikat milik kerajaan China itu, Nur-ul Afida berkata ia menandakan penubuhan perkongsian strategik yang bertujuan meningkatkan kerjasama dalam media dan komunikasi.

“Pertukaran media sentiasa memainkan peranan penting dalam mempromosikan hubungan Malaysia-China.

“Saya percaya kerjasama ini mewakili kemajuan besar bagi Bernama, membuka peluang besar yang saling menguntungkan di peringkat serantau dan global,” katanya semasa wawancara dengan stesen berita antarabangsa China, CRI News Radio baru-baru ini.

Temu bual itu turut menekankan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, Tahun Persahabatan China-Malaysia dan peluang media untuk Malaysia ketika ia bersiap sedia untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Bernama dan CMG telah menjalin hubungan yang erat, memperkukuh kerjasama media serta menggalakkan persefahaman bersama antara kedua-dua negara.

Kedua-dua agensi bersetuju mewujudkan rangka kerja tetap untuk kerjasama, memfokuskan kepada pertukaran kandungan, program bersama, pertukaran kakitangan serta memperluas hubungan budaya untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China dari 4 hingga 7 Nov, beliau menyaksikan pemeteraian beberapa MoU termasuk antara Bernama dan CMG.

“Bernama berharap dapat memanfaatkan sumber yang luas dan kepakaran profesional CMG, terutamanya dalam bidang teknologi media digital.

“Selain itu, Bernama mempunyai kelebihan uniknya sendiri yang boleh meningkatkan keupayaan liputan CMG di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Beliau berkata MoU itu juga membuka peluang untuk perkongsian kandungan serta latihan media yang mantap, bertujuan untuk meningkatkan ketepatan masa berita dan memudahkan pertukaran budaya yang lebih mendalam.

Menekankan hubungan erat antara Malaysia dan China, Nur-ul Afida berkata MoU itu menawarkan media kedua-dua negara peluang untuk mengeratkan hubungan dan mempromosikan lagi hubungan dua hala.

“Dari perspektif media, Malaysia dan China sentiasa menghormati antara satu sama lain dan hubungan itu kekal kukuh.

“Kedua-dua media telah memberikan liputan positif antara satu sama lain, memupuk muhibah dan persefahaman dalam kalangan audiens kami,” katanya.

Nur-ul Afida turut mengulangi komitmen Bernama untuk membuat laporan berita yang seimbang,  mengelakkan berat sebelah yang dilihat dalam media tertentu.

“Apabila kami melaporkan berita mengenai China, kami kerap mendapatkan maklumat daripada media China untuk memastikan laporan yang seimbang, objektif dan tepat,” tambahnya.

Apabila ditanya mengenai kerjasama antara China, ASEAN dan negara Asia yang lain, Nur-ul Afida percaya bahawa terdapat matlamat bersama dalam kestabilan serantau, pemulihan ekonomi dan pembangunan mampan antara China dan negara Asia lain, dengan prospek masa depan yang menjanjikan dan potensi kerjasama yang luas.

“China ialah rakan kongsi yang amat diperlukan bagi kebanyakan negara Asia dan dasar kerajaan Malaysia sangat inklusif serta mampan. Prospek kerjasama yang lebih mendalam antara Malaysia dan China amat cerah.

“Oleh itu, negara Asia lain dan China boleh terus bekerjasama dalam pelbagai bidang baharu, menetapkan piawaian baharu yang akan menyumbang kepada dunia yang lebih adil dan lebih mampan.

“Begitu juga, saya percaya perkembangan ini akan membantu meningkatkan kesedaran awam, memperkukuh hubungan diplomatik, serta mempamerkan potensi besar untuk kerjasama antara negara Asia lain dan China,” katanya.

Mengimbas kembali lawatannya ke Shanghai semasa lawatan rasmi Perdana Menteri ke China, Nur-ul Afida memuji transformasi luar biasa bandar itu selama bertahun-tahun.

“Sejak lawatan pertama saya ke China pada 1997, saya telah banyak membaca mengenai pembangunan China, terutamanya berkaitan Shanghai. Saya berpeluang melawat Shanghai sekali lagi semasa lawatan rasmi Perdana Menteri ke China.

“Di Shanghai, saya melihat banyak perubahan. Dari bilik hotel saya, saya dapat melihat banyak bangunan pencakar langit. Bangunan pencakar langit ini memberikan suasana futuristik kepada Shanghai, menyerlahkan statusnya sebagai antara pusat kewangan global,” katanya.

Nur-ul Afida berkata kadar perubahan luar biasa di China, khususnya di bandar utama seperti Shanghai, menjadi bukti kedudukan negara itu sebagai pemain utama dalam pembangunan global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan