AM

Pembedahan Kardiotorasik Komponen Penting Dalam Penjagaan Kardiovaskular - Dzulkefly

22/11/2024 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Pembedahan kardiotorasik kekal sebagai komponen utama dan fokus penjagaan bagi pesakit yang menghidap penyakit kardiovaskular, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata melatih lebih ramai pakar bedah kardiotorasik ialah keutamaan untuk mencapai objektif Kementerian Kesihatan (KKM) dalam membawa penjagaan pembedahan kardiotorasik lebih dekat dengan rakyat, terutamanya ketika penyakit tidak berjangkit (NCD) terus meningkat di negara ini.

Di samping itu, Dzulkefly berkata pejabat antarabangsa pertama Royal College of Surgeons of Edinburgh’s (RCSEd) di Malaysia yang beropersi di kampus baharu Akademi Perubatan Malaysia di Putrajaya akan menjadi batu loncatan kepada lebih banyak kerjasama menyeluruh pada peringkat ASEAN.

"Program latihan pembedahan kardiotorasik Parallel Pathway di KKM, yang dijamin kualitinya oleh RCSEd terus menjadi tulang belakang latihan pada masa ini. Kementerian juga memperkukuh semua program latihan kardiotorasik termasuk program sarjana di universiti tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Kongres Tahunan ke-32 Persatuan Torasik dan Pakar Bedah Kardiovaskular Asia (ATCSA) bersempena dengan Mesyuarat Saintifik Tahunan ke-24 Persatuan Pembedahan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS) di sini hari ini.

Dzulkefly berkata tiga kategori utama NCD, iaitu penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser menyebabkan kerugian produktiviti ekonomi Malaysia yang dianggarkan sebanyak RM12.88 bilion.

"Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, sejumlah 33.3 peratus atau satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia mempunyai kolesterol tinggi, 29.2 peratus atau satu dalam tiga dewasa mendapat tekanan darah tinggi dan 15.6 peratus atau satu daripada enam dewasa menghidap diabetes manakala 54.4 peratus atau satu daripada dua dewasa memiliki berat badan berlebihan atau obes.

"Pada 2022, sebanyak 95,266 kematian direkodkan dalam kalangan dewasa berusia antara 30 hingga 69 tahun, di bawah purata jangka hayat penduduk negara kira-kira 75 tahun. Hampir suku daripada kematian ini disebabkan oleh NCD," katanya.

Dzulkefly turut menggariskan rancangan KKM untuk menambah baik tujuh pusat kardiotorasik serantau di bawah KKM di seluruh negara pada masa depan.

Pusat itu di Hospital Pulau Pinang, Hospital Raja Perempuan Zainab II (Kelantan), Hospital Tengku Ampuan Afzan (Pahang), Pusat Jantung Serdang (Selangor), Hospital Sultanah Aminah (Johor), Pusat Jantung Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth II (Sabah).

"Selain itu, kami telah mengesahkan rancangan untuk membuka pusat pembedahan kardiotorasik pediatrik di Hospital Seberang Jaya, pembinaan blok pembedahan baharu dengan perkhidmatan kardiotorasik yang dinaik taraf di Hospital Pulau Pinang dan pusat kardiotorasik baharu di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan