AM

Ilmu Pertanian Itu Penting - Rosyam Nor

24/11/2024 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Akibat kekurangan ilmu, pelakon dan pengarah filem terkenal Datuk Rosyam Nor pernah dua kali mengalami kegagalan ketika pembabitan awalnya dalam sektor pertanian.

Walaupun pahit menghadapi kegagalan, ikon pertanian itu berkata ia merupakan satu pengalaman dan pengajaran berharga.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin berkata cubaa kali ketiga untuk bergelar anak tani barulah membuahkan hasil dalam bidang tanaman nangka madu serta tanaman lain yang diusahakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Pahang.

"Dua kali saya pernah gagal dalam pertanian. Tapi itu pengajaran paling besar bagi saya kerana waktu itu saya sombong...rasa ada duit saja, boleh buat sendiri.

“Sebenarnya, ilmu pertanian itu amat penting...Alhamdulillah, kini sudah 14 tahun saya usahakan tanaman di TKPM Lanchang,” katanya selaki moderator program Bual Bicara Peranan Pertubuhan Peladang Dalam Keterjaminan Makanan anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menurut Rosyam yang minat berbakti kepada tanah, hasil daripada bidang pertanian ini turut membantu beliau mengembangkan perniagaan yang lain, malah kerjasamanya dalam mempromosikan pertanian bersama KPKM dan agensi berkaitan bukan satu perkara baharu.

"Rakyat Malaysia telah menjadikan Rosyam Mart satu branding yang dikenali, khasnya kepada orang Melayu. Jadi, saya rasa bertanggungjawab untuk menggunakan jenama saya ini dalam memperkenalkan bidang pertanian," katanya.

Program bual bicara KPKM di pentas utama, diadakan sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama tiga hari sejak Jumaat.

Bertemakan ‘MADANI di Hati, Rakyat Disantuni’, program 2TM yang akan melabuhkan tirai hari ini menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian, agensi serta jabatan kerajaan kepada rakyat selain pelbagai aktiviti dan tawaran menarik menanti orang ramai antaranya reruai usahawan, kaunter bayaran saman, penukaran topi keledar serta Jualan Rahmah MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan