AM

Kanser Prostat: Pembedahan Bantuan Robotik Pilihan Pemulihan Lebih Pantas

28/11/2024 08:48 AM

PETALING JAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kurang kesedaran tentang kanser prostat masih wujud dalam kalangan lelaki, walaupun ia menjadi kanser ketiga paling biasa melibatkan golongan itu di negara ini.

Kanser prostat dihidapi oleh seorang dalam 120 lelaki di Malaysia, terutama mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

Pakar Perunding Urologi, Endourologi dan Pembedahan Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Christopher Lee Kheng Siang berkata risiko kanser prostat meningkat seiring usia, dan malangnya, 60 peratus daripada pesakit di negara ini masih didiagnosis pada peringkat akhir, menunjukkan pentingnya pengesanan awal.

"Kanser prostat kebanyakannya tanpa gejala atau simptomnya mungkin keliru dengan pembesaran prostat yang tidak berbahaya.

"Bagaimanapun, ia boleh dikesan melalui penanda tumor dikenali sebagai prostate-specific antigen (PSA)," katanya kepada Bernama, dan menambah keadaan itu dapat dikesan lebih awal sekiranya kaum lelaki memasukkan ujian PSA dalam pemeriksaan kesihatan berkala mereka.

Dr Lee berkata kanser prostat boleh dirawat lebih awal melalui pembedahan, radioterapi atau terapi fokus walaupun ia masih belum meluas di Malaysia, namun kemajuan dalam teknologi membantu pesakit pulih dengan lebih baik dan lebih cepat.

"Terdapat pilihan rawatan berbeza mengikut tahap penyakit bergantung pada keadaan pesakit. Dari segi pembedahan, ia terbahagi kepada pembedahan terbuka yang melibatkan insisi besar di abdomen, atau pembedahan laparoskopik (pembedahan lubang kunci) melibatkan beberapa insisi kecil. Selain itu, pembedahan bantuan robotik ialah bentuk pembedahan laparoskopik yang lebih maju.

"Pembedahan dengan bantuan robot ini menggunakan lengan robotik yang dikawal sepenuhnya oleh pakar bedah untuk mencapai pergerakan pembedahan yang lebih tepat dan halus. Ia sangat penting untuk penyambungan semula uretra ke pundi kencing selepas kelenjar prostat dikeluarkan," katanya dan menambah kaedah ini kurang menyakitkan dan melibatkan kurang kehilangan darah berbanding pembedahan konvensional.

Beliau berkata pembedahan secara robotik juga memendekkan tempoh pesakit berada di hospital daripada maksimum lima hari kepada tiga hari, dan ia sesuai untuk sebarang pesakit kanser prostat, bergantung pada tahap klinikal mereka.

Mengulas mengenai salah tanggapan yang biasa berlaku, Dr Lee berkata ramai pesakit menganggap pembedahan dengan bantuan robotik dijalankan sepenuhnya oleh kecerdasan buatan yang sering menimbulkan kebimbangan.

Bagaimanapun, Dr Lee memberi jaminan bahawa robot ialah alat ketepatan yang dikawal oleh pakar bedah, dengan kepakaran manusia mengarah setiap langkah prosedur.

"Terdapat kemajuan teknologi dalam instrumen robotik yang lebih versatil, membolehkan pergerakan lebih fleksibel, meningkatkan resolusi kamera, menawarkan pandangan tiga dimensi (3D) berdefinisi tinggi anatomi pembedahan semasa prosedur.

"Ada juga perisian pintar yang membantu kedudukan konsol robotik dan lengan robotik sekali gus mempercepat persediaan untuk pembedahan. Perisian ini dapat menyesuaikan posisi robot mengikut jenis pembedahan dan kedudukan pesakit," katanya dan menambah kemajuan lain melibatkan keterhubungan 5G kepada peranti bagi membolehkan telepembedahan.

Dr Lee berkata telepembedahan telah diuji dan dilaksanakan dengan jayanya di negara maju lain, bagaimanapun ia masih belum diuji di Malaysia.

Beliau berkata penyelidikan sedang dijalankan untuk menjadikan peranti berkenaan mampu menghasilkan maklum balas haptik yang membolehkan pakar bedah merasakan anatomi pesakit.

Sementara itu, dalam menempuh perjalanan diagnosis, rawatan dan pemulihan, Dr Lee menyarankan agar pesakit berbincang dengan doktor tentang rawatan untuk keadaan mereka, mendapatkan pandangan daripada kumpulan sokongan kanser prostat dan membaca laman web perubatan rasmi bagi memahami kaedah pembedahan dengan lebih jelas.

Pusat Perubatan Sunway di Bandar Sunway ditubuhkan pada 1999, merupakan hospital kuarterner swasta terbesar di Malaysia yang memenangi pelbagai anugerah, dengan 28 Pusat Kecemerlangan dan pasukan pelbagai disiplin termasuk Pusat Urologi, Pusat Pembedahan Robotik dan Pembedahan Invasif Minimum serta Pusat Kanser untuk memberikan rawatan khusus dengan pendekatan penjagaan holistik.

Ia juga hospital pertama di negara ini memperoleh tiga akreditasi hospital utama termasuk Joint Commission International (JCI) Accreditation yang berprestij.

SMC telah menjalankan lebih 3,000 pembedahan robotik dengan pasukan terdiri daripada 27 pakar bedah mahir dan terlatih daripada pelbagai disiplin termasuk urologi, ginekologi, kolorektal, hepatobiliari, bariatrik dan ortopedik.

-- BERNAMA

 

(Penafian: Ini ialah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.)

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan