AM

Dua Laluan Alternatif Seremban-Kuala Pilah Dijangka Siap 2026, 2027

27/11/2024 03:28 PM

SEREMBAN, 27 Nov (Bernama) -- Dua laluan alternatif bagi mengatasi kesesakan di jalan Seremban-Kuala Pilah iaitu Seri Menanti-Ulu Sepri dan Kampung Guntur-Langkap masing-masing dijangka siap pada 2026 dan 2027.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kedua-dua laluan yang menelan kos keseluruhan RM165.46 juta itu telah dimulakan pada 2021 dan 2022.

“Terdapat beberapa isu teknikal di tapak yang menyebabkan perjalanan projek ini menjadi lewat. Dijangkakan kerja-kerja fizikal bagi kedua-dua projek ini dapat dilaksanakan sebaik sahaja proses pengambilan tanah dan penilaian impak alam sekitar diselesaikan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Muhammad Sufian Maradzi (BN-Seri Menanti) yang ingin tahu status pembinaan jalan berkenaan dan jangkaan disiapkan berikutan hampir empat tahun projek itu tertangguh.

Menjawab pertanyaan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN-Jeram Padang) mengenai keizinan menggunakan tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk membina jalan alternatif ke kampung Orang Asli Panchor, Klebang dan Lubuk Lawang, Aminuddin berkata ia dijangka selesai tahun hadapan.

“Dalam hal ini, RAC selaku pemilik dan pengurus aset kereta api akan mengkaji cadangan reka bentuk lintasan yang sesuai serta ulasan teknikal daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum diangkat untuk kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat. Ia juga telah dipanjangkan kepada Menteri Pengangkutan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai dengan mengalih halangan dan mengalur seksyen sungai secara berkala dengan tidak melibatkan kerja melebar atau mendalamkan sungai.

“Setakat ini, 17 batang sungai terlibat dalam program timbal balik termasuk Sungai Kepayang, Sungai Linggi, Sungai Pertang, Sungai Lenggeng dan Sungai Rembau,” katanya menjawab soalan Datuk Bakri Sawir (PH-Klawang) yang ingin tahu sama ada kajian dasar sungai asal telah dijalankan untuk mengatasi banjir dan senarai sungai terlibat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan