AM

Banjir: Penduduk Orang Asli Di Pos Lebir Mula Berpindah Ke Bangsal Atas Bukit

27/11/2024 04:57 PM

GUA MUSANG, 27 Nov (Bernama) -- Hampir 400 penduduk Orang Asli suku kaum Mendriq dan Bateq di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini, mula berpindah ke bangsal yang dibina di atas bukit berhampiran malam tadi.

 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Jamlus Musa berkata kawasan rendah di perkampungan itu mula digenangi air susulan hujan berterusan sejak dua hari lepas yang menyebabkan air Sungai Linggi mula melimpah.

“Sebanyak 24 keluarga sudah berpindah ke atas bukit bagi mengelakkan mereka terkandas di kediaman masing-masing. Hari ini masih hujan dan jambatan yang menghubungkan kampung ini juga telah tenggelam pada kira-kira 7 malam semalam,” katanya kepada pemberita di kampung berkenaan di sini hari ini. 

Beliau berkata bangsal berkenaan dibina sebelum ini di atas bukit berhampiran sebagai persiapan menghadapi banjir dan jumlah keluarga Orang Asli yang akan berpindah dijangka bertambah sekiranya paras air Sungai Linggi terus meningkat. 

"Penduduk juga menyimpan barangan makanan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh selain turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Saya juga sentiasa ingatkan penduduk agar tidak membenarkan anak-anak bermain air banjir untuk keselamatan mereka," katanya. 

Sementara itu Pegawai JKM Daerah Gua Musang Bun Tham Eh Gin berkata JKM telah menyediakan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Pasir Linggi. 

"JKM telah mengagihkan barangan keperluan mangsa banjir termasuk tikar, tuala, makanan dan minuman di 56 buah PPS di sini sejak Okt lepas. Ini merupakan persediaan awal pihak berwajib bagi menghadapi segala kemungkinan ketika Monsun Timur Laut (MTL),” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan