BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 AM

RUU OBS: Petugas Kontrak Turut Terima Manfaat Cuti Bersalin 98 Hari

02/12/2024 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (OBS) (Pindaan) 2024 yang antara lain melibatkan tempoh cuti bersalin dinaikkan kepada 98 hari berbanding 60 hari, terpakai kepada semua pekerja wanita dalam sektor swasta negeri itu sama ada berstatus tetap mahupun kontrak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad ketika menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Negara hari ini berkata penambahan jumlah cuti itu selaras saranan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) supaya tempoh cuti bersalin hendaklah tidak kurang daripada 14 minggu.

“Ia (pindaan) juga melibatkan peruntukan cuti paterniti tujuh hari (cuti tanpa rekod) dengan maksimum lima kelahiran bagi pekerja lelaki yang telah berkahwin sekali gus bermakna pekerja-pekerja lelaki sektor swasta akan turut menikmati faedah sama seperti penjawat awam.

“Kementerian berpandangan kemudahan ini (cuti paterniti) adalah wajar supaya suami dapat bersama-sama isteri menyambut kelahiran anak, menenangkan emosi isteri yang masih belum stabil dan menjaga bayi yang baru dilahirkan serta menyelesaikan urusan tertentu seperti urusan pendaftaran anak,” katanya

Terdahulu pada sesi perbahasan, Senator Datuk Judiet Fidilis @ Noraini Idris memohon penjelasan sama ada pindaan terhadap RUU berkenaan melibatkan kelayakan cuti bersalin terpakai kepada semua pekerja wanita di Sabah.

Dewan Negara kemudian meluluskan RUU Ordinan Buruh Sabah (OBS) (Pindaan) 2024 itu dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas empat Senator. 

Turut diluluskan ialah RUU Percegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 bertujuan mempersiapkan negara terhadap ancaman penyakit berjangkit di masa hadapan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata melalui pindaan yang dibuat, satu klausa akan dimasukkan untuk memberi kuasa kepada pegawai kesihatan menggunakan ‘kekerasan’ bagi memastikan perintahnya dipatuhi, tetapi kekerasan itu bukanlah secara fizikal.

“Kekerasan yang dimaksudkan adalah kata-kata (arahan), bukan memukul, memaksa dan menahan seseorang individu secara fizikal dan ia tidak bercanggah dengan hak asasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pegawai yang diberi kuasa pula adalah pegawai terlatih yang harus bertindak mengikut garis penguatkuasaan bagi memastikan tiada penyalahgunaan berlaku. Jadi saya nasihatkan pegawai mematuhi garis penguatkuasaan ini dan tidak melangkaui kuasa diberikan,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu.

RUU itu yang antara lain membolehkan seseorang pegawai diberi kuasa memerintahkan mana-mana orang yang dijangkiti sesuatu penyakit berjangkit menjalani pengasingan atau pengawasan, kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas oleh 15 Senator termasuk Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan