AM

KPDN Tambah Jumlah PJRM Di Negeri Terkesan Banjir

05/12/2024 06:14 PM

CHUKAI, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia memperbanyakkan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di negeri terkesan banjir gelombang pertama pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata program yang menawarkan harga subsidi antara 10 dan 30 peratus ke atas barangan keperluan itu akan meringankan beban penduduk yang ditimpa musibah banjir baru-baru ini.

“KPDN cawangan akan membuat libat urus dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, mana-mana kawasan yang memerlukan program ini walaupun sememangnya dah ada, kita bersedia untuk tambah (jumlah program) kerana kita tahu mereka yang menghadapi bencana ini terkesan dan menanggung kerugian.

“Dengan adanya Program Jualan Rahmah MADANI ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Puteh di sini hari ini.

Sementara itu, Armizan berkata tiada isu besar berhubung kekurangan bekalan barangan keperluan harian dan kenaikan harga mendadak sepanjang tempoh gelombang pertama MTL kali ini. 

“KPDN ada menerima beberapa laporan aduan (kekurangan bekalan) daripada beberapa daerah contohnya Pasir Mas dan Tumpat di Kelantan yang memohon supaya KPDN bantu dan serta merta kita dapat tangani dalam masa singkat, jadi tidak ada isu besar.

“Dari segi pergerakan harga pula, berdasarkan pemantauan KPDN tidak ada pergerakkan harga yang luar biasa. Kita harap tidak berlaku kenaikan secara mendadak,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah bertemu dengan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) dan Peruncit Terpilih Daerah (DDR) bagi memastikan mereka tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan hingga membebankan rakyat.

Armizan berkata sebagai persiapan menghadapi MTL, pihaknya juga telah melantik 1,369 DDR dan 635 DDW di seluruh negara yang dibenarkan menyimpan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan lesen sepanjang musim tengkujuh ini.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO) serta badan korporat kepada mangsa banjir namun mereka dinasihatkan mendapatkan bekalan barangan dari luar kawasan atau negeri yang terjejas banjir bagi mengelakkan masalah kekurangan bekalan. 

Terdahulu, Armizan meluangkan masa kira-kira dua jam menyantuni dan beramah mesra dengan 83 calon SPM yang terkesan dengan banjir di SMK Ayer Puteh di sini, selain turut menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan dan alat tulis. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan