AM

300 Penguat Kuasa KPDN Sertai Misi Skuad Ihsan MADANI Bantu Mangsa Banjir

06/12/2024 11:02 PM

MELAKA, 6 Dis (Bernama) -- Kira-kira 300 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyertai Misi Skuad Ihsan MADANI bertujuan memberi pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata insiatif itu bagi mendukung usaha skuad tersebut dalam mempergiatkan penyertaan penjawat awam sebagai sukarelawan banjir.

"Jumlah itu termasuk 238 penguat kuasa yang baru tamat latihan serta wakil bahagian yang ada di KPDN. Kesemua mereka digerakkan malam ini dan akan ditugaskan hingga selesai musim Monsun Timur Laut bagi membantu meringankan beban dialami mangsa banjir.

"Skuad ini bukan sahaja memberi sumbangan tetapi turut melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah, pusat komuniti atau menjadi sukarelawan di pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya kepada media selepas merasmikan Karnival KPDN 2024 Zon Selatan di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini malam ini.

Beliau berkata gerak kerja skuad berkenaan akan mengikut  jadual yang diselaraskan oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara seiring dengan keperluan jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat di lokasi yang terjejas.

"Penjadualan ini dilakukan bagi memastikan gerak kerja tidak hanya bertumpu di kawasan tertentu untuk memberi bantuan yang bersesuaian," katanya.

Mengenai penganjuran Karnival KPDN 2024, Armizan menjelaskan Melaka adalah negeri terakhir bagi jelajah karnival itu bagi zon selatan dan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sebagai usaha merakyatkan perkhidmatan kerajaan sekali gus akses untuk mendapatkan pelbagai barangan pada harga berpatutan.

Beliau berkata pelbagai aktiviti menarik serta pameran yang informatif diadakan bagi meluaskan rangkaian perniagaan, memperkenalkan jenama serta menikmati peluang yang disediakan sepanjang karnival berlangsung.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan