AM

JKPK KESIHATAN SYOR KKM PERCEPAT PELAKSANAAN DRG

11/12/2024 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Dewan Rakyat mengesyorkan Kementerian Kesihatan (KKM) mempercepatkan pelaksanaan kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) sebagai langkah menangani isu kenaikan harga insurans dan takaful perubatan.

Pengerusi berkenaan Suhaizan Kaiat berkata DRG bertujuan mengklasifikasikan rawatan pesakit berdasarkan diagnosis dan prosedur diberikan, seterusnya membolehkan pengurusan kewangan dan pembayaran lebih efisien.

"(Melalui DRG) setiap pesakit itu akan dikategorikan mengikut penyakit yang mereka hadapi, dengan itu kita dapat menentukan rawatan bersesuaian dan akhirnya kita dapat menentukan kos bagi setiap rawatan. Jadi, sistem ini akan memandu semua pihak bagi menentukan kos rawatan yang standard," katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. 

Ahli Parlimen Pulai itu berkata JKPK Kesihatan turut mengesyorkan penelitian semula dasar sedia ada seperti pilihan bayaran co-payment supaya kos rawatan dapat dikongsi antara penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) dengan pemegang polisi dan peserta takaful.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga mengesyorkan KKM memperkasa usaha menjalin hubungan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan melalui inisiatif 'Rakan KKM' dalam menggalakkan penglibatan aktif sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan individu dalam menyokong transformasi kesihatan negara. 

Selain itu, Suhaizan berkata KKM turut disyorkan mempercepat usaha menubuhkan Dana Kesihatan Negara bertujuan menyediakan sumber kewangan yang mampan bagi memenuhi keperluan perubatan rakyat dan menampung peningkatan kos rawatan.

Beliau berkata JKPK Kesihatan telah mengadakan sesi libat urus bagi membincangkan dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak berhubung isu kenaikan harga insurans dan takaful termasuk KKM, Bank Negara Malaysia (BNM), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), semalam.

Sementara itu, Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dalam kenyataan berpendapat terdapat keperluan mengadakan sesi libat urus secara lebih komprehensif dalam mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.

"Oleh itu, satu prosiding melalui JKPK dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan menjadi sebahagian dari inisiatif ahli-ahli Parlimen penyokong kerajaan bagi membantu kerajaan dalam mencari penyelesaian menyeluruh kepada permasalahan dihadapi ini," menurut kenyataan itu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memperkenalkan garis panduan untuk menstandardkan kos yang dikenali sebagai DRG bagi memastikan kos perubatan yang munasabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan