AM

PENYENARAIAN PENGUSAHA MAKANAN SEDIAAN DI RUMAH BERSIFAT SUKARELA - LUKANISMAN

12/12/2024 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Program Penyenaraian Pengusaha Makanan Sediaan di Rumah bersifat sukarela dan bertujuan menggalakkan proses penyediaan makanan bersih dan selamat oleh pengusaha makanan home-based, menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni. 

Beliau berkata bagaimanapun, permohonan untuk penyenaraian yang diperkenalkan pada April 2021 itu tidak diwajibkan dari segi perundangan, seperti pensijilan lain yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM), misalnya Persijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) atau pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS). 

"KKM komited untuk meningkatkan lagi penyertaan pengusaha makanan sediaan di rumah pada program berkenaan. Sebagai langkah awal, KKM telah menggunakan pendekatan usaha pematuhan kendiri serta aktiviti promosi kesedaran mengenai penyediaan makanan yang bersih dan selamat secara berterusan.

"Pendekatan secara sukarela ini bertujuan meningkatkan formalisasi aktiviti penyediaan makanan bersih dan selamat termasuk dalam latihan pengendali makanan, pelalian vaksinasi antitifoid, pelabelan makanan, pemeriksaan kendiri dan pengusaha berdaftar dalam pangkalan data FoSIM (Food Safety Information System of Malaysia)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) sama ada kementerian merancang untuk mewajibkan program Penyenaraian Pengusaha Makanan Sediaan di Rumah bagi semua pengusaha home-based.

Lukanisman berkata pelaksanaan sebarang syarat atau peraturan kepada pengusaha secara sukarela itu juga diharapkan tidak menjejaskan pembangunan ekonomi dan perkembangan industri makanan berskala mikro berkenaan.

Selain itu, beliau berkata keperluan asas yang termaktub dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 terhadap pengendali makanan, seperti perlu menjalani latihan pengendali makanan, mendapatkan pelalian vaksinasi tetap adalah diwajibkan walaupun tanpa memohon pensijilan daripada KKM. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan