JOHOR BAHRU, 11 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju untuk mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi membincangkan isu kesesakan jalan raya dan penyuraian trafik Sistem Rapid Transit (RTS).
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata penubuhan pasukan petugas khas itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bil 3/2024 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen hari ini.
Beliau berkata pelbagai isu dan inisiatif dibincangkan menerusi mesyuarat tersebut dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya khususnya di Johor Bahru dan Lembah Klang, yang menjadi isu kritikal mempengaruhi kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut membentangkan beberapa inisiatif utama yang telah dan akan dilaksanakan, termasuk pelaksanaan rangkaian infrastruktur pengangkutan dan penyuraian trafik di kawasan ‘Greater JB’ dengan mengenal pasti 77 kawasan kesesakan lalu lintas melibatkan empat pihak berkuasa tempatan.
"Pelaksanaan dan cadangan lokasi Park & Ride bagi rangkaian perkhidmatan bas, penambahan rangkaian laluan bas henti-henti serta memperluaskan rangkaian infrastruktur jalan raya di Johor terutamanya kawasan 'Greater JB' turut dibentangkan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Onn Hafiz berkata beliau yakin dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, segala usaha serta inisiatif yang telah dirancang dapat dilaksanakan demi memastikan isu kesesakan dan keselamatan jalan raya sentiasa diberi keutamaan demi keselesaan pengguna khususnya rakyat Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial