AM

BANJIR: ANGKA MANGSA DI TERENGGANU, PAHANG NAIK SEDIKIT PAGI INI

12/12/2024 11:04 AM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Pahang sedikit meningkat manakala situasi di Johor dan Perak pula semakin pulih setakat 8 pagi ini.

Di TERENGGANU, susulan hujan lebat malam tadi, angka mangsa banjir yang dipindahkan ke 12 pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah kepada 3,951 orang berbanding 3,778 orang malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), daerah Kemaman merekodkan sebanyak 3,761 mangsa yang berlindung di lapan PPS dan di Dungun melibatkan 190 mangsa di empat PPS.

Sementara itu, paras air Sungai Kemaman di Rumah Paya Pam Paman, Kemaman telah melepasi paras amaran manakala Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu melebihi tahap waspada.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir melibatkan daerah Jerantut meningkat kepada 40 orang berbanding 34 orang semalam yang kini berada di dua PPS, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Teh dan SK Tebing Tinggi.

Sementara di PERAK, jumlah mangsa banjir kekal dengan 34 orang yang masih ditempatkan di sebuah PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, Bota di Perak Tengah sejak 2 Dis lepas.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran kepada penduduk di lapan kampung yang terletak dalam lingkungan lima kilometer radius dari Sungai Perak, Sungai Kenderong, Sungai Kenering, Sungai Rui dan Sungai Air Tawar di Hulu Perak yang dijangka dilanda banjir dalam tempoh tiga hari hingga esok susulan hujan berterusan peringkat berjaga-jaga.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir juga kekal dengan 139 orang di sebuah PPS di daerah Tangkak dan dua PPS di Segamat.

Sebanyak 54 orang berlindung di PPS SK Simpang Lima Darat di Tangkak manakala di Segamat melibatkan PPS Balai Raya Kampung Batu Badak (40 mangsa) dan PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek (45 orang).

Terdapat dua sungai di Segamat dilaporkan melepasi paras amaran, iaitu stesen Sungai Muar di Kampung Awat dengan bacaan 19.72 meter dan Sungai Muar di Buloh Kasap (8.53 meter).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan