AM

KPM AKAN GUNA SOP BAHARU BAGI SEKOLAH BERISIKO DILANDA BANJIR TAHUN DEPAN

12/12/2024 06:23 PM

PASIR MAS, 12 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi pengurusan sekolah yang berisiko dilanda banjir bermula tahun depan, kata Ketua Setiausaha KPM Datuk Ruji Ubi.

Beliau berkata SOP yang akan dilaksanakan itu membabitkan bilik guru, makmal serta bilik penyimpanan buku teks dengan menempatkannya di tingkat atas sekolah terlibat.

Ruji berkata bilik darjah yang berada di tingkat bawah pula perlu ditukarkan dengan kelengkapan yang tidak mudah rosak, seperti plastik dan lain-lain bagi mengurangkan risiko kemusnahan sekiranya berlaku bencana banjir.

"Menerusi lawatan kerja di sekolah-sekolah yang terkesan dengan banjir, saya mengambil pengajaran perlu ada perancangan pada masa hadapan termasuk pelaksanaan SOP baharu untuk meminimumkan kos kemusnahan membaik pulih serta penggantian semula.

"Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti hari ini saya dapati bilik guru mereka rosak semuanya (total loss) dan kos penggantian mungkin puluhan ribu ringgit. Jadi, jika kita mahu mengurangkan kos, kita ambil inisiatif (SOP) ini. Saya akan bawa perkara ini ke peringkat kementerian agar ia terpakai di semua sekolah yang berisiko dilanda banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di SMK Meranti, di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz.

Sebelum ini, media melaporkan SMK Meranti yang terletak hampir tiga kilometer dari lembangan Sungai Golok adalah antara sekolah yang terjejas teruk akibat banjir gelombang pertama pada penghujung November lepas.

Sementara itu, dalam perkembangan sama Ruji berkata JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pengetua di setiap sekolah diminta membuat laporan segera berkaitan kemusnahan dan kerugian yang dihadapi.

"Kita tidak mahu selepas banjir proses pembelajaran dan pengajaran terganggu, yang perlu penggantian kita minta PPD dan JPN untuk membuat perolehan segera membabitkan kerosakan yang berlaku.

"Kita ada kemudahan, perolehan darurat termasuk membabitkan kerja-kerja pembinaan selain perolehan peralatan. Bagi perolehan peralatan, ia perlu dibuat sekarang dan kita jangka selewat-lewatnya hujung Januari ia sudah diperoleh," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan