KUALA NERUS, 12 Dis (Bernama) -- Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 yang diluluskan Dewan Rakyat semalam akan meningkatkan keselamatan dalam talian bagi seluruh masyarakat Malaysia, dan ia sama sekali tidak akan menyekat kebebasan bersuara, termasuk dalam kalangan mahasiswa, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata akta itu diluluskan dengan niat menegaskan kepada penyedia platform media sosial, bahawa untuk beroperasi di Malaysia mereka ada kewajipan menjaga beberapa perkara berkaitan keselamatan terutama yang melibatkan kanak-kanak, di samping tidak membenarkan scammer dan kegiatan judi dalam talian beroperasi di platform mereka.
“Ini sekali-kali tidak menghalang anak-anak muda daripada mengkritik,” katanya pada sesi dialog bersama pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sempena program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa di sini, hari ini.
Beliau berkata keputusan mengenakan lesen kepada pengendali platform media sosial pula dilakukan bagi mengekang kandungan-kandungan tidak beretika yang disiarkan, termasuk yang berkaitan dengan scam serta isu sensitif yang menimbulkan keresahan awam.
“Isu sensitif yang menimbulkan keresahan awam ini yang menjadi cabaran dalam dunia media sosial sekarang. Kita dapati media sosial sejujurnya tak minat sama ada benda (yang dimuat naik) itu betul atau tidak. Mereka (hanya) minat berapa ramai yang tonton. Lagi ramai tonton lagi banyak iklan dia dapat jual, lagi banyak duit dia dapat.
“Facebook sebagai contoh, tahun lepas sahaja daripada jualan iklan di Malaysia, kaut untung RM2.5 bilion, tapi antara iklan dijual yang dibayar oleh pengguna ialah iklan judi, iklan scam. Itulah antara sebab kerajaan putuskan kita perlu melesenkan platform ini, bukan untuk mengekang kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa,” katanya.
Turut hadir pada program hari ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Naib Canselor Unisza Prof Datuk Dr Fadzli Adam.
Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 melalui undi belah bahagi dengan 77 Ahli Parlimen bersetuju, 55 tidak bersetuju serta 90 tidak hadir.
Menurut RUU itu, menjadi kewajipan pemberi perkhidmatan aplikasi berlesen dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan berlesen untuk melaksanakan langkah bagi mengurangkan risiko pengguna yang didedahkan kepada kandungan memudaratkan.
Pemberi perkhidmatan juga perlu mengeluarkan garis panduan kepada pengguna termasuk syarat-syarat penggunaan sebagai panduan semasa menggunakan perkhidmatan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial