AM

PEMBINAAN RTS LINK JOHOR BAHRU-SINGAPURA BAGI KERJA INFRASTRUKTUR CAPAI 95 PERATUS

12/12/2024 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura berjalan mengikut jadual dengan tahap kemajuan mencapai 95 peratus bagi kerja-kerja infrastruktur setakat November lepas.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata kerja-kerja pemasangan komponen sistem lain, seperti stok kereta (rolling stock), isyarat, bekalan kuasa, pengagihan dan telekomunikasi telah mula dilaksanakan pada bulan ini.

“Setakat ini, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM2.5 bilion untuk kerja-kerja penyiapan infrastruktur sivil projek RTS di bahagian Malaysia.

“Kos sebanyak RM5.2 bilion telah diperuntukkan bagi keseluruhan projek untuk bahagian Malaysia sehingga siap dibina,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Halim Suleiman yang ingin tahu mengenai perkembangan terkini projek RTS Link.

Hasbi berkata perkhidmatan RTS Link boleh menampung hingga 100,000 penumpang sehari (maksimum) dengan kekerapan tren 3.6 minit pada waktu puncak.

Beliau berkata dianggarkan sebanyak 30,000 hingga 40,000 penumpang sehari akan menggunakan perkhidmatan RTS pada tahun pertama operasi yang dijangka bermula pada 31 Dis 2026.

Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS) sebagai InfraCo Malaysia katanya, telah memberikan akses awal kepada RTS Operation Pte Ltd (RTSO), iaitu pengendali operasi di Depoh Wadi Hana pada 30 Sept lepas bagi memulakan kerja-kerja pemasangan landasan kereta api.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan