AM

BATU PUTEH: KEPUTUSAN TIDAK TERUSKAN SEMAKAN DAN TAFSIRAN DIBUAT TANPA RUJUK JEMAAH MENTERI

12/12/2024 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Keputusan untuk tidak meneruskan usaha semakan dan tafsiran yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibuat sendiri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum mesyuarat Kabinet yang pertama diadakan pada 2018, kata tiga anggota Kabinet ketika itu.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Anthony Loke dalam kenyataan bersama berkata keputusan itu dibuat Dr Mahathir sendiri pada 21 Mei 2018 secara bertulis kepada Peguam Cara Negara, tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri, dan dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018.

"Selang dua hari kemudian, setelah keputusan dibuat, barulah Tun Dr Mahathir memaklumkan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet. Ingin kami tekankan di sini, ia hanyalah "pemakluman" di bawah agenda "Hal-hal lain" dan bukannya perbincangan untuk menentukan keputusan. 

"Oleh yang demikian, tidak wujud isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan telah pun hilang apabila ia telah dibuat secara bertulis oleh Tun Dr Mahathir," menurut kenyataan itu.

 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dalam laporan diedarkan kepada Ahli Parlimen pada 5 Dis lepas, mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.

Suruhanjaya itu berpendapat Dr Mahathir berkemungkinan dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri ketika itu untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas, permohonan itu mempunyai kebarangkalian untuk berjaya.

Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri, merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, manakala Mohamad yang kini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan memegang jawatan Menteri Pertahanan, dan Loke memegang jawatan sama pada waktu itu iaitu Menteri Pengangkutan.

Ketiga-tiga mereka berpandangan sebagai negarawan, Dr Mahathir sepatutnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan ini dan bukannya memilih meletakkan di bahu mereka yang tidak terlibat.

"Kami yakin dan percaya anggota Jemaah Menteri yang hadir dalam Mesyuarat Kabinet pada 23 Mei 2018 boleh mengesahkan perkara ini," menurut mereka.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan