DUNIA

WFP RAYU DANA SEGERA UNTUK BANTU JUTAAN PENDUDUK DI SYRIA 

13/12/2024 02:09 PM

GENEVA, 13 Dis (Bernama-WAM) -- Program Makanan Sedunia (WFP) merayu dana segera bagi memperluaskan operasi bantuan kepada 2.8 juta rakyat yang terjejas dan berdepan krisis makanan di Syria, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM). 

WFP memaklumkan bahawa pertempuran terbaharu telah menyebabkan ratusan ribu penduduk hilang tempat tinggal, sekali gus memburukkan lagi situasi keterjaminan makanan yang sudah pun kritikal. 

Keperluan kemanusiaan terus meningkat ketika Syria melalui fasa peralihan politik, menurut kenyataan WFP pada Khamis. 

“Pada waktu yang genting ini, kita perlu memastikan bahawa golongan paling terkesan menerima makanan dan bantuan yang diperlukan.

“Kami amat memerlukan sokongan penderma bagi mengekalkan semua operasi kami di seluruh negara.

“Rakyat Syria kini berpeluang untuk memulakan hidup baharu dan kita tidak boleh membiarkan kelaparan menghalang mereka,” kata Pengarah Negara WFP di Syria, Kenn Crossley. 

Sejak krisis semasa bermula, WFP bertindak pantas dengan menyediakan catuan makanan siap dimakan, bakul makanan, serta hidangan segar dan panas kepada hampir 70,000 penduduk yang hilang tempat tinggal di seluruh Syria.

Selepas pergolakan dan ketidakstabilan yang berlangsung selama beberapa hari, perkhidmatan pengagihan makanan dan hidangan panas juga disambung semula untuk penduduk di Homs, Aleppo, Raqqa dan Al-Hasakah. 

Hampir 14 tahun konflik bersenjata telah menjadikan kehidupan harian rakyat Syria sangat rapuh.

Pada awal tahun ini, 12.9 juta orang dilaporkan mengalami krisis makanan, manakala bantuan kemanusiaan semakin merosot akibat kekurangan dana. 

Pada masa ini, laluan bekalan terjejas, harga makanan melambung tinggi dan mata wang Syria terus merosot.

Barangan keperluan seperti beras, gula, dan minyak semakin sukar didapati, sementara harga roti turut meningkat mendadak. 

-- BERNAMA-WAM 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan