AM

BUMI KENYALANG KEHILANGAN PEMIMPIN ULUNG, ARKITEK UTAMA PEMBANGUNANNYA TAHUN INI

16/12/2024 08:19 AM

KUCHING, 16 Dis (Bernama) -- Ketika tahun 2024 semakin hampir menutup tirainya, Sarawak menghimbau kembali rencam peristiwa bersejarah yang terpahat dalam ingatan seluruh penduduk negeri sepanjang tahun ini, bermula sedari awal tahun lagi dengan peralihan teraju negeri.

Februari lepas menyaksikan Sarawak mengharungi detik tragis kehilangan pemimpin unggul yang dikasihi, Tun Abdul Taib Mahmud.

Kira-kira sebulan selepas 2024 menjengah, Sarawak meratapi kehilangan besar seorang negarawan, arkitek utama dalam pembangunan negeri, figura gah yang telah mencorakkan landskap politik, ekonomi, dan sosial Sarawak.

Ketua Menteri keempat dan Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh itu menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 21 Feb di usia 87 tahun, di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Allahyarham cukup dikenali sebagai Bapa Sarawak Moden, dengan kepimpinan berwawasan serta komitmennya yang tidak pernah berbelah bahagi terhadap negeri, meninggalkan warisan kemakmuran yang kekal abadi dalam sanubari seluruh anak Sarawak.

Di bawah kepimpinannya, Sarawak merangkul pencapaian yang luar biasa dalam kestabilan politik, kepelbagaian ekonomi, dan perpaduan sosial, sekali gus berjaya mengubah ‘wajah’ negeri yang asalnya banyak bergantung kepada sumber semula jadi, menjadi sebuah wilayah yang dipacu oleh industri, terutamanya dalam memperkasakan tenaga boleh diperbaharui.

Selama 33 tahun berkhidmat sebagai ketua eksekutif yang menjadi tonggak utama negeri terbesar di Malaysia, Abdul Taib berjaya membawa Sarawak muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi yang dihormati, terkenal dengan kestabilan politik dan keharmonian sosial.

Dengan pemergian satu era, muncul pula fajar sebuah era baru apabila Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, 77, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang ke-8, diamanahkan untuk membawa aspirasi negeri ini ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Sebagai seorang anak Sarawak yang memiliki karier cemerlang, Wan Junaidi mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri pada 29 Jan setelah menerima surat pelantikannya daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tiga hari sebelumnya.

Beliau memiliki pengalaman luas dalam pentadbiran negara, dengan perjalanan kerjaya perkhidmatan awam beliau bermula pada tahun 1964 apabila beliau menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia, hanya setahun selepas penubuhan Malaysia.

Beliau ditempatkan di dalam Pasukan Polis Hutan (kini Pasukan Gerakan Am) dan berkhidmat di Kawasan Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM) antara 1968 dan 1973.

Pendidikan undang-undang yang diperolehnya dari Universiti Buckingham pada tahun 1978 mengukuhkan lagi pengetahuan beliau dalam bidang undang-undang, sebelum beliau terpilih dan memenangi pilihan raya pertama untuk menjadi Ahli Parlimen pada tahun 1990.

Berkhidmat sebagai Anggota Parlimen selama 32 tahun hingga bersara pada tahun 2022, Wan Junaidi memegang pelbagai jawatan penting, termasuk tiga jawatan menteri persekutuan, sekali sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, dan kemudian sebagai Speaker Dewan Negara, sebelum memegang jawatan sebagai Ketua Negeri.

Terdahulu, semasa meraikan sambutan kehadiran tahun 2024, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg membuat pengumuman bersejarah semasa sambutan malam Tahun Baru peringkat negeri di Kuching, dengan menamakan bendera negeri sebagai Ibu Pertiwi.

Sebelum pengumuman ini, beliau menjelaskan bahawa bendera yang telah diterima pakai oleh kerajaan Sarawak sejak 1988 tidak mempunyai nama rasmi, berbeza dengan bendera Malaysia yang dikenali sebagai Jalur Gemilang.

“Ibu Pertiwi melambangkan kedaulatan Sarawak dan juga mencerminkan kehebatan Sarawak dengan warna merah, hitam dan kuning bendera. Semua rakyat Sarawak mesti berazam untuk bekerja keras untuk melindungi Ibu Pertiwi dan secara kolektif membangunkan negeri ini untuk mencapai kemajuan yang lebih besar,” katanya semasa  Abang Johari.

Pengumuman beliau itu dilihat tepat pada masanya, selepas versi gergasi Ibu Pertiwi dinaikkan dengan megah ke atas tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara, yang didirikan sebagai sebahagian daripada dataran awam baharu di Kuching, dikenali sebagai Dataran Ibu Pertiwi.

Tahun ini menyaksikan Sarawak sekali lagi menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA. Ini merupakan kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah temasya sukan dwi-tahunan itu.

Buat kali keempat Sarawak muncul sebagai juara, kali ini bagi SUKMA XXI, dengan mengumpul 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa, mengatasi Wilayah Persekutuan dengan hanya sebutir pingat emas. Sarawak pernah menjadi juara SUKMA edisi 1990, 1992 dan 1994.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan