KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Kenderaan elektrik (EV) pertama Proton, e.MAS 7, dipilih sebagai kereta rasmi bagi Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia berharap dapat menunjukkan contoh di rantau ini dalam mempromosikan pembangunan EV, dengan menekankan bahawa ia adalah lanjutan yang boleh dilihat secara langsung daripada komitmen pelepasan karbon sifar bersih negara.
“Dalam masa terdekat, saya juga gembira melihat kereta ini akan dibina di Tanjung Malim, menaikkan taraf vendor Malaysia melalui pemindahan teknologi dan kemahiran baharu yang berkaitan dengan EV,” katanya pada majlis pelancaran e.MAS 7, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pemilihan e.MAS 7 sebagai kereta rasmi untuk mesyuarat ASEAN tahun depan juga menunjukkan sokongan kerajaan terhadap pengeluaran kereta elektrik pertama negara oleh Proton.
Beliau berkata sebagai pengeluar kereta nasional, Proton harus memanfaatkan peranannya dalam industri automotif tempatan dan projek EV.
"Dasar Automotif Nasional 2020 seharusnya menjadi rujukan Proton dalam menghasilkan model ini nanti di negara ini," katanya.
Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab syarikat yang beroperasi dalam industri automotif, bukan sahaja untuk menjual kenderaan, tetapi juga untuk menyediakan peluang untuk pelaburan dan pekerjaan melalui penubuhan ekosistem holistik.
"Namun cabaran anda dan juga cabaran bagi kami, adalah dari segi penawaran. Kami perlu memastikan bahawa anda mempunyai kapasiti, dan dasar yang jelas untuk menggalakkan pengeluaran tempatan dan menyokong industri tempatan, vendor tempatan, termasuk Bumiputera," katanya.
Anwar juga yakin dengan pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, Perak, lebih banyak vendor tempatan akan terlibat dengan pengeluaran bukan sahaja untuk kereta Proton, tetapi juga untuk jenama lain.
"Ini akan menjadi contoh cemerlang peluang rangkaian dan kerjasama ekonomi yang telah wujud antara China dan Malaysia selama lebih 50 tahun, dan saya memuji kedua-dua pihak atas kreativiti dan ketekunan mereka untuk menjadikan perkongsian ini berjaya," katanya.
Anwar berkata hari ini lebih daripada 75 peratus tenaga yang digunakan di Asia berasal daripada hidrokarbon dan permintaan dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2030, sambil menyatakan bahawa Malaysia mesti mengimbangi permintaan dengan keselamatan, kemampuan dan kemampanan.
Di bawah inisiatif Peralihan Bertanggungjawab (RT), beliau berkata Malaysia meningkatkan daya saingnya dengan mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan memupuk pertumbuhan dalam mobiliti hijau, tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian penyimpanan tenaga.
"Unjuran kami menunjukkan ini boleh menghasilkan peluang pelaburan setinggi RM1.3 trilion menjelang 2050, dan sumbangan tambahan RM220 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, di samping menjana lebih 300,000 peluang pekerjaan," katanya.
Pada majlis yang sama, rakan strategik Proton, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) menyerahkan RM1 juta sumbangan kepada Dana Ihsan MADANI untuk mangsa banjir baru-baru ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial