AM > BERITA

ECX 2024: 10 USAHAWAN E-DAGANG MALAYSIA SERTAI LAWATAN INOVASI KE SHANGHAI

16/12/2024 09:38 PM

SHAH ALAM, 16 Dis (Bernama) -- Sepuluh pemenang terbaik program Selangor E-Commerce Xcellerator (ECX24) menyertai Lawatan Inovasi Antarabangsa ke Shanghai, China, bertujuan memperkasakan syarikat pemula tempatan melalui pendedahan kepada ekosistem inovasi kelas dunia, pemimpin industri dan trend perniagaan terkini.

 Peserta lawatan terdiri daripada Wellness Cosmetology Alliance Lab Sdn Bhd, Nasi Lemak Nale Sdn Bhd, Ominent Sdn Bhd, Eartheories Sdn Bhd, Gelatomio Production Sdn Bhd, Saudagaar Asia Sdn Bhd, Kimyra International Sdn Bhd, Natugee Sdn Bhd, MCCKT Ventures Sdn Bhd dan Naza Beyond Ventures. 

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonom Digital Selangor (Sidec) dalam kenyataan memaklumkan antara yang menjadi sorotan sepanjang lawatan seminggu berakhir 7 Dis lepas ialah lawatan ke ibu pejabat ChatPlus AI, dengan peserta belajar tentang penyelesaian yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan pembabitan pelanggan di semua platform utama seperti  Shopee, Lazada, dan TikTok.

"Bytedance (syarikat induk TikTok dan Douyin) menjadi hos bagi sebahagian besar program ini dengan peserta menghadiri bengkel yang dikhususkan untuk mereka. 

"Sesi ini meliputi topik seperti Trend Perniagaan TikTok Shop, Strategi Kejayaan Penstriman Langsung Douyin, dan amalan terbaik bagi rangkaian saluran pelbagai (MCN) dan pengurusan rakan gabungan," menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu segala pandangan yang dikongsikan mampu membantu peserta membina strategi terbaik mereka untuk mengoptimumkan perniagaan dan melayari landskap e-dagang yang sentiasa berkembang.

Sidec memaklumkan lawatan itu turut mendekatkan peserta dengan pemimpin perniagaan utama dan pegawai kerajaan menerusi majlis makan malam rasmi bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, yang menjadi platform kepada peserta untuk memupuk kerjasaama selain meraikan pencapaian bidang keusahawanan Selangor.

"Selain itu, lawatan ke MATRADE Shanghai dan Plug & Play Shanghai memberikan peserta pengetahuan yang bernilai mengenai strategi kemasukan pasaran dan ekosistem inovasi di China," menurut kenyataan itu.  

Dalam pada itu, menurut Sidec Lawatan Inovasi Antarabangsa ECX24 itu mencerminkan komitmen perbadanan tersebut dalam menyokong syarikat pemula niaga mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat global, menghubungkan usahawan dengan pemimpin industri global dan teknologi inovatif serta membuka peluang baharu untuk berkembang. 

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping dalam kenyataan sama berkata pendedahan di pringkat global penting untuk usahawan berinovasi dan memperluaskan perniagaan mereka, justeru Lawatan Inovasi Antrabangsa ECX24 memberi peserta pengetahuan berharga terhadap ekosistem e-dagang dunia dan strategi perniagaan yang lebih ke hadapan.

"Kami yakin pengalaman ini akan memperkasakan mereka untuk menerima inovasi dan bersaing di peringkat global," katanya. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan